Malaysia disaran jadi hab bahan api marin serantau, tingkat hasil negara - Utusan Malaysia

Malaysia disaran jadi hab bahan api marin serantau, tingkat hasil negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjana lebih banyak hasil negara jika memanfaatkan sumber petroleum, minyak sawit dan kemudahan pelabuhan untuk muncul sebagai hab bahan api marin serantau.

Pakar industri maritim, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, Malaysia ketika ini mempunyai hampir semua keperluan asas untuk membangunkan industri itu, termasuk sumber bahan mentah, kemudahan penyimpanan, pelabuhan serta kedudukan strategik di laluan utama perkapalan dunia.

Katanya, kerajaan perlu melihat sektor berkenaan sebagai peluang untuk meningkatkan aktiviti bernilai tambah dalam negara, bukannya sekadar menerima, menyimpan dan memindahkan kargo petroleum.

“Kita boleh menjana lebih banyak pendapatan daripada kargo minyak dengan melakukan lebih banyak proses di dalam negara, termasuk mencampurkan bahan api, menyimpannya dan menjualnya kepada kapal.

“Daripada sekadar menerima dan memindahkan kargo, kita perlu mencipta lebih banyak nilai daripada sumber yang sudah kita miliki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri maritim dan perkapalan itu berkata, peningkatan permintaan bahan api di Asia susulan gangguan bekalan minyak turut membuka peluang kepada Malaysia untuk memperluas bekalan petroleum dan bahan api marin ke pasaran serantau.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi menghasilkan dan membekalkan Very Low Sulphur Fuel Oil (VLSFO), iaitu bahan api marin dengan kandungan sulfur rendah, selain membangunkan aktiviti pencampuran dan pengisian bahan api kapal atau bunkering.

“Indonesia mempunyai petroleum dan minyak sawit, manakala Filipina mempunyai minyak kelapa. Sumber seperti ini boleh diteroka untuk industri bahan api marin,” katanya.

Menurut Jeyenderan, pembangunan Malaysia sebagai hab pencampuran dan bunkering VLSFO serantau boleh menjana aktiviti ekonomi merentasi rantaian bekalan, termasuk penyimpanan, perdagangan, pengangkutan, perkapalan dan pembekalan bahan api kepada kapal.

Katanya, kedudukan Malaysia di laluan utama perkapalan antarabangsa memberikan kelebihan besar kerana jumlah kapal yang melalui perairan negara boleh mewujudkan pasaran tetap bagi perkhidmatan bahan api marin.

Beliau berkata peluang itu perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kutipan hasil kerajaan dan kesan ekonomi kepada sektor swasta.

“Dilaporkan kutipan cukai langsung Malaysia tahun lalu mencapai RM203.991 bilion, manakala negara jiran kita mengutip RM310.38 bilion.

“Dengan sumber dan infrastruktur yang kita ada, sebenarnya kita mampu menjana lebih banyak hasil,” katanya.

Bagaimanapun, Jeyenderan berkata potensi itu hanya dapat direalisasikan jika kerajaan menyediakan peraturan yang jelas bagi mengawal pergerakan dan penggunaan kargo petroleum, khususnya kargo yang diisytiharkan menggunakan Borang Kastam No. 8 (K8).

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap kargo direkod dan dijejaki dengan jelas apabila disimpan, dipindahkan atau melalui proses pencampuran.

“Kita memerlukan peraturan yang jelas mengenai apa yang boleh dilakukan terhadap kargo selepas ia memasuki tangki penyimpanan, terutama apabila produk petroleum berbeza dicampurkan.

“Ini penting untuk melindungi hasil kerajaan, mengelakkan ketirisan serta memberikan kepastian kepada pemain industri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×