PUTRAJAYA: Sebanyak 15 buah syarikat dipilih bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di tujuh negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia membabitkan pelaksanaan RTB di Johor, Selangor, Kelantan, Kedah, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan membabitkan kos kontrak sebanyak RM1.245 billion.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek RTB itu perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di lembangan sungai berkaitan.
“Projek ini juga diharap dapat menjamin keselamatan dan mengurangkan kerugian
kerosakan harta benda kepada penduduk serta infrastruktur awam,” katanya.
Teks ucapan Fadillah dibacakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini, hari ini.
Pada majlis sama, 15 buah syarikat berkenaan telah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang turut disaksikan Akmal Nasrullah.
Katanya, perubahan iklim yang berlaku kini menyebabkan gelombang banjir besar sehingga boleh melumpuhkan bandar kerana sungai sedia ada tidak mampu menampung aliran hujan yang melimpah.
Fadillah berkata, projek ini dianggap sebagai langkah strategik untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi serta alam sekitar yang lebih terpelihara.
Menurutnya, PETRA komited dalam pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan agar dapat menjayakan agenda nasional dalam mentransformasi sektor air. – UTUSAN










