PORT MORESBY: Usaha mencari ratusan penduduk kampung yang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Papua New Guinea mungkin tidak dapat diteruskan selepas tentera menyifatkan zon bencana itu terlalu bahaya untuk sebarang operasi.
Penyelia tapak runtuhan dan juga pegawai tentera, Mejar Joe Aku berkata, semua usaha untuk mencari mayat mangsa terpaksa dibatalkan kerana bimbang risiko bencana sama berulang.
Aku mengisytiharkan kawasan tanah tinggi sebagai zon larangan yang akan ditutup kepada masyarakat dan pihak berkuasa sehingga dimaklum kelak.
“Terlalu bahaya untuk berada di tapak bencana pada peringkat ini. Ia adalah tanah runtuh paling teruk dan terbesar pernah saya lihat,” katanya seperti dilapor The Straits Times, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Papua New Guinea mendedahkan anggaran awal seramai 2,000 mangsa mungkin tertimbus tanah runtuh pada 24 Mei lalu, walaupun Aku berkata jumlah itu mungkin lebih hampir kepada 650 orang.
Hanya sembilan mayat ditemukan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Laporan dalaman Jabatan Perlombongan dan Geobencana Papua New Guinea pada 4 Jun lalu memberi amaran terdapat kemungkinan tinggi runtuhan berlaku lagi di tapak sama dalam masa terdekat.
Laporan itu merumuskan bahawa sebarang akses ke kawasan runtuhan harus dihadkan kepada pakar.
Aku berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan masyarakat dan pihak berkuasa tempatan mengenai kemungkinan mewujudkan tugu peringatan bagi mangsa yang terkubur di bawah runtuhan.
Papua New Guinea adalah salah satu kawasan paling terdedah kepada bencana dan tanah runtuh adalah insiden yang biasa berlaku di tanah tingginya.










