KUALA LANGAT: Peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan diagihkan bermula bulan depan pada pengambilan pertama pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang diumumkan sempena Sambutan Hari TVET Negara 2024 itu akan dibahagikan mengikut kursus-kursus ditentukan selain bekerjasama rapat dengan institusi berkaitan.
“Peruntukan tambahan ditumpukan kepada bidang tertentu bidang kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju (advanced materials); teknologi elektronik, mekanisasi ladang dan automasi pertanian serta penternakan
“Jadi kita tumpukan kerana sesuai kaedah automasi perladangan, contohnya kita kekurangan pekerja tempatan. Kita (juga) menukarkan nama penoreh dan pengutip buah kelapa sawit sebagai harvester kerana bukan kerja biasa. Kita harap latihan teknikal daripada peruntukkan dapat dilaksanakan bulan depan kerana infrastruktur sudah tersedia,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta sebagai langkah memperkasakan bidang TVET bagi membolehkan lebih ramai tenaga mahir tempatan memenuhi permintaan dalam pasaran kerja.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyatakan pelbagai syarikat antarabangsa bersedia menawarkan gaji permulaan lebih tinggi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, kesediaan itu dibuat berdasarkan realiti pemain industri memerlukan pekerja berkemahiran yang boleh diperoleh menerusi TVET.
“Dalam pertemuan bersama beberapa syarikat antarabangsa, mereka sanggup bayar gaji minimum lebih RM4,000 (1,000 Dolar Amerika Syarikat), selain sudah memeterai MoU dengan syarikat berkenaan.
“Aspek latihan akan dibuat mengikut keperluan syarikat dan kilang berkenaan bagi mengelak ketidakpadanan serta pertindihan peluang pekerjaan,” ujarnya.
Sebelum ini, dalam laporan Tinjauan Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini, menunjukkan hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET.
Situasi tersebut sekali gus menunjukkan majoriti majikan swasta tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dalam kalangan graduan berkenaan.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, memberitahu, gambaran itu jelas menunjukkan jurang ketara dalam aspek kesedaran dan penerimaan graduan TVET yang masih rendah dalam kalangan majikan sektor swasta.
Malah, katanya, sebanyak 7.8 peratus daripada responden turut menyatakan ketidakpastian mengenai pengambilan tenaga kerja dalam kalangan graduan TVET. – UTUSAN










