Subsidi minyak: Tegas laksanakan dasar rasionalisasi, jangan 'U' Turn - CAP

Subsidi minyak: Tegas laksanakan dasar rasionalisasi, jangan ‘U’ Turn – CAP

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan mesti bertindak tegas apabila melaksanakan dasar rasionalisasi subsidi bahan api walaupun dasar berkenaan dianggap tidak popular dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana dasar rasionalisasi subsidi bahan api mesti dilaksanakan dan tidak perlu ada ‘U’ Turn atau pusingan U di pihak kerajaan hanya kerana menerima tekanan daripada pihak berkepentingan dan kumpulan politik.

“Pemimpin kerajaan mesti bertindak tegas apabila melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular tetapi dalam jangka panjang ia akan menjadikan ekonomi kita lebih berdaya tahan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Ini kerana, dengan melaksanakan dasar rasionalisasi ini, kerajaan akan mendapat penjimatan sehingga RM4 bilion, malah, seorang ahli ekonomi terkenal menganggarkan kerajaan akan mendapat penjimatan RM8 bilion yang boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial,” katanya di sini hari ini.

Bermula Isnin, harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung.

Kelmarin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, subsidi mesti diberikan kepada mereka yang memerlukan dan bukan untuk semua golongan tanpa mengira status ekonomi mereka.

“Penerima subsidi mesti diberi kuasa supaya selepas satu tempoh, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri dan tidak bergantung kepada subsidi lagi. Pelaksanaan dasar subsidi juga perlu dipantau rapi bagi memastikan tiada ketirisan,” katanya.

Tambahnya, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan pemberian subsidi hendaklah diatasi dengan segera dan diperbetulkan agar tidak berlaku penyelewengan.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan pengalaman yang diperoleh daripada melaksanakan penghapusan subsidi diesel, langkah seterusnya yang boleh diambil oleh kerajaan ialah melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95.

“Langkah ini akan menghasilkan penjimatan yang lebih besar kepada kerajaan. Golongan rakyat yang terjejas oleh dasar rasionalisasi bahan api boleh diberi bantuan kewangan untuk menampung kos yang meningkat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN