PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa semua Perdana Menteri sebelum ini bersetuju dengan langkah penyasaran subsidi, namun mereka tidak ada tekad politik untuk melaksanakannya.
Perdana Menteri berkata, walaupun beliau tahu ada risiko atas keputusan mengambil tindakan tidak popular itu, namun ia tidak ada pilihan demi menyelamatkan negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut sedar tindakan itu akan dihentam, dimaki dan difitnah oleh pelbagai pihak termasuk membuat penipuan walaupun langkah tersebut adalah satu perubahan lebih baik.
“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular, tetapi untuk selamatkan negara.
“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan, segala fitnah dan penipuan, tak semestinya (puak memfitnah) pakai songkok, serban, tapi tipu terus-menerus.
“Penyasaran subsidi ini semua Perdana Menteri sebelum ini telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan. Risikonya ada tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumukan harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 seliter bermula hari ini.
Katanya, harga diesel tanpa subsidi itu akan diapungkan mengikut harga pasaran dan dibuat berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Amir Hamzah berkata, dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan se banyak RM4 bilion setahun. – UTUSAN










