PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy membuktikan larian beliau selepas mengungguli saringan sekali gus layak ke final Terbuka Kazakshtan 2024 di Almaty.
Atlet berusia 25 tahun itu mencatat masa 54.16 saat (s) mengatasi dua jaguh tuan rumah, Anna Shumilo yang menduduki carta kedua (56.58s) manakala Milana Zubareva di tempat ketiga (57.76s).
Catatan masa Shereen dilihat masih jauh dengan rekod kebangsaan miliknya 51.79s yang beliau padam pada awal bulan ini.
Bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, Shereen perlu menjadi ratu 400m Kazakhstan serta memecahkan rekod kebangsaannya untuk melonjak ranking yang selamat.
Kedudukan Shereen dijangka ke-58 dunia selepas mengungguli Terbuka Malaysia 2024, namun hanya 48 terbaik yang layak ke Paris.
Aksi final Terbuka Kazakhstan dijadualkan berlangsung pada pukul 10.15 malam ini Waktu tempatan dan bakal menjadi penentu mengenai nasibnya ke Paris.










