DUESSELDORF: Perancis terpaksa membayar harga dengan mahal untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Austria dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D Kejohanan Eropah (Euro) selepas penyerang, Kylian Mbappe mengalami kecederaan.
Skuad The Blues itu memperolehi gol pada minit ke-38 selepas pertahanan Austria, Maximilian Wober tertampan bola masuk ke gawang sendiri berpunca daripada hantaran yang dibuat oleh Mbappe.
Mbappe, tidak pernah menjaringkan gol di pentas Euro mengalami pendarahan di bahagian hidung ketika cuba melakukan tandukan di kotak penalti di mana dia menanduk bahu pertahanan Austria, Kevin Danso.
Pemain berusia 25 tahun itu menerima rawatan daripada pasukan perubatan sebelum kembali meneruskan permainan bagaimanapun Mbappe tidak dapat melakukannya dan digantikan dengan Olivier Giroud.
“Hidungnya tidak berada dalam keadaan baik. Walaupun ia sekadar hidung namun ia memberi kesan negatif kepada kami,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps. – AGENSI










