SETIAP kali berkunjung ke perkampungan nelayan bagi melakar keindahan seni bina rumah Melayu Terengganu, pandangan matanya sering dicemari dengan longgokan sisa pertanian.
Rasa sedih menyelubungi Dr. Chew Teng Beng, 86, apabila melihat banyak batang pisang dan daun nanas dibuang sebegitu sahaja selepas dituai.
Lantas, timbul ilham untuk memanfaatkan sisa buangan tersebut bagi dijadikan produk baharu iaitu, kertas.
Hasil kreativiti pelukis veteran berasal dari Kuala Terengganu ini membolehkannya muncul sebagai pelopor kertas buatan tangan berasaskan pisang dan nanas sebagai medium ekspresi seni yang pertama dunia, pada penghujung 1970-an.
Pelbagai pengiktirafan diraih di peringkat antarabangsa, termasuk Anugerah Kebudayaan Kerajaan Australia sekali gus muncul sebagai penerima sulung dari Malaysia.
Malah, beliau turut diberi penghormatan membuat pembentangan dalam persidangan penghasilan
kertas di Ibraki, Jepun.
“Sejak kecil, mendiang ayah mengajar kami adik-beradik untuk menggunakan dan mengolah barangan yang ada di sekeliling bagi dijadikan sebagai alat permainan.
“Apabila nampak sisa pertanian itu, otak saya ligat berfikir apakah kaedah-kaedah yang boleh diambil untuk mempelbagaikan fungsinya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran katalog seni berjudul Retrospektif Chew Teng Beng – Kehidupan, Seni dan Penulisan yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Katalog seni setebal 230 halaman terbitan Persatuan Soka Gakkai Malaysia itu mengandungi karya-karya terpilih sepanjang tujuh dekad kerjaya seninya.
Mengimbas memori hampir enam dekad lalu, Teng Beng berkata, selain mengelakkan pembaziran sumber, misi utamanya adalah untuk memulihara alam sekitar dan mengurangkan penebangan
hutan bagi penghasilan kertas.
Dalam masa sama, perkongsian ilmu itu diharap dapat membantu golongan petani dan nelayan
di Terengganu menjana pendapatan tambahan menerusi hasil sisa pertanian.
“Ketika menuntut di Akademi Seni Cranbrook di Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada 1967, saya didedahkan dengan proses percetakan kertas, walaupun itu bukan bidang pengkhususan tetapi dek kerana minat hampir setiap hari saya datang ke studio apabila waktu rehat bagi melihat pelajar melakukan tugasan itu.
“Sekembalinya ke tanah air lima tahun kemudian, saya ditawarkan menerajui program pengajian seni halus pertama negara di Universiti Sains Malaysia (USM) dan di situlah bermulanya penyelidikan tentang kertas buatan tangan daripada gentian sisa tanaman tersebut,” katanya.
Disebabkan tiada mesin pengisar khas, beliau menggunakan peralatan tradisional iaitu lesung kayu
menumbuk padi untuk melumatkan kedua-dua bahan itu.
Menurut Teng Beng, sebelum proses menumbuk bermula, batang pisang dan daun nanas perlu dipotong serta direndam seketika agar teksturnya lembut.
Kemudian, apabila sudah halus, air dicampurkan sedikit dan sedia untuk dikeringkan menjadi kertas.

INSPIRASI TERUMBU KARANG TERENGGANU
Selain menghasilkan kertas buatan tangan, beliau turut menjadikannya sebagai medium ekspresi seni.
Antara karyanya yang menggunakan pendekatan itu ialah Coralscapes.
Malah, koleksi tersebut pernah dibawa ke pameran berprestij, Asia Pacific Triennial yang diadakan di Galeri Seni Queensland di Brisbane, Australia pada 1993.
“Konsep seni atas kertas buatan tangan ini 100 peratus lahir daripada cetusan idea dan kreativiti saya tanpa meniru mana-mana pelukis lain.
“Saya mengangkat tema Coralscape sebagai tanda penghargaan kepada keindahan terumbu karang di perairan Terengganu,” katanya.
Teng Beng tertarik pada hidupan marin itu ketika melakukan aktiviti menyelam di empat pulau peranginan iaitu Redang, Kapas, Perhentian dan Bidong.
Walaupun pernah merantau ke beberapa negara luar, namun, cintanya masih pada tanah air dan berbangga menjadi anak Malaysia.
Bahkan, katanya, pantai Terengganu merupakan yang tercantik dan tiada tolok bandingan.
“Masa itu, tiada pelancong luar lagi dan saya ke pulau dengan menumpang kolek nelayan, milik bapa kepada pelajar saya.
“Kolek-kolek tidak dilengkapi enjin dan tekong mengayuhnya secara tradisional dengan menggunakan tangan sambil menyanyi di sepanjang perjalanan, itu antara pengalaman berharga yang kini
tinggal sejarah,” katanya.
Bagi memastikan kenangan itu tidak luput dalam ingatan, beliau memilih untuk mengabadikannya
dalam bentuk lukisan.

JANGAN CIPLAK
Antara ciri penting seorang pelukis adalah memiliki minda yang kreatif.
Ia membantu seseorang mencipta identiti dalam berkarya sekali gus membezakan dirinya dengan yang lain.
“Pelukis perlu ada kreativiti, jika tiada ciri itu, jangan jadikan bidang ini sebagai kerjaya pilihan anda.
“Saya cakap begini kerana kebanyakan pelukis dilihat tiada idea asli dalam berkarya,” tegasnya.
Rata-rata karya ditonjolkan golongan itu cenderung menciplak atau menceduk hasil kerja pelukis
terdahulu.
Ia boleh dikesan berdasarkan banyak persamaan dari segi konsep, teknik dan gaya.
Situasi itu tidak sepatutnya berlaku kerana menghormati kerja seni adalah tebing maruah diri
seorang pelukis.
Dalam perkembangan terkini, Teng Beng masih melukis walaupun sudah lama bersara sebagai pensyarah.
Di sebalik usia yang mencecah seabad, beliau memasang keinginan menjejakkan kaki ke Pulau Lang
Tengah di Terengganu.
“Saya mahu menyelam ke dasar laut dan melihat keindahan hidupan marin, seolah-olah mengimbau
nostalgia zaman muda,” katanya.

KELUARGA PELUKIS
Darah seni mengalir dalam tubuhnya melalui bapa, Chew Kok Kee yang merupakan pelukis iklan komersial di Kuala Terengganu, suatu ketika dahulu.
Bahkan, bapanya mengubah rumah kedai mereka di Kampung Cina kepada sebuah studio.
Dikatakan, mendiang datuk Teng Beng juga merupakan penulis kaligrafi berasal dari China
dan usahawan berjaya itu turut membuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu.
Selain dirinya, dua adik lain iaitu Kiat Lim dan Kiat Seng juga merupakan pelukis terkenal negara
yang menggondol banyak anugerah.
Kiat Seng memulakan kerjaya sebagai pelukis perubatan di Singapura dan kemudian berkhidmat di Institut Perubatan & Ilustrasi Biologi di United Kingdom (UK) dan berhijrah ke New York bagi menubuhkan studio seni lukis hingga berpeluang berkhidmat dengan beberapa syarikat terkemuka
seperti NBC Studio, Warner Bros, Disney dan ABC.
Kiat Lim pula tidak mendapat pendidikan seni lukis secara formal tetapi, mempelajarinya dengan melukis poster-poster iklan wayang untuk syarikat, Shaw Brothers.
Pada 1962, beliau memenangi hadiah kedua di pameran Seni Lukis Antarabangsa di Saigon dan tujuh tahun kemudian, menyertai acara Bienal de Sao Paulo yang ke-10 dengan menampilkan karya lukisan
batiknya, Batek Em Pano.
Cetusan idea Kiat Lim akhirnya menyatukan bakat tiga bersaudara ini dalam Pameran Chew Brothers
pertama di Kuala Lumpur dan Singapura pada 1965.
Bahkan, mereka turut diiktiraf sebagai keluarga pelukis pertama di Malaysia dan Singapura.
Kehebatan tiga beradik itu menarik minat Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Malaysia pertama,
Frank Sullivan untuk mengadakan pameran Chew Brothers di bawah tajaan Majlis Seni Lukis Malaya.
BIODATA
Umur: 86
Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
Kerjaya: Pelukis veteran, penyelidik, kurator, bekas pensyarah seni di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pengasas sekolah pengajian seni halus pertama Malaysia serta pengasas jabatan seni lukis dan pembuatan kertas di Sienna Heights College di Michigan.
Anugerah: Ijazah Doktor Kehormat Seni Lukis oleh De Montfort University of Leicester, United Kingdom (UK), Inovator Asal oleh kerajaan Ausralia (1978), Anugerah Kebudayaan Kerajaan Australia (penerima
sulung dari Malaysia).
Pendidikan: Specialist Teacher Training Institute (kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas) (1964); Akademi Seni Cranbrook di Amerika Syarikat (1967); Ijazah Sarjana Seni Halus di University Michigan.











