PETALING JAYA: Pembangkang menganggap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai tidak sah dari segi undang-undang apabila merujuk Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana kerajaan membawa satu usul yang membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang tidak jelas iaitu di bawah peraturan mana.
“Kita membuat kenyataan media hari ini berkaitan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat tadi iaitu pihak kerajaan telah membawa satu usul bahawa ia tidak jelas, kita pun tidak tahu di bawah peraturan mana.
“Dalam apa-apa prosiding undang-undang, sebelum masuk kepada tajuk perbahasan yang dibincangkan, pihak-pihak dibenarkan untuk membawa yang dipanggil sebagai bantahan awal.
“Sebab itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee tadi membuat satu bantahan awal bahawa usul ini adalah tidak mengikut peraturan, tidak teratur dan sepatutnya ditolak daripada dibentangkan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung ahli parlimen pembangkang meninggalkan Dewan sebaik undian suara selesai dan menyaksikan majoriti ahli Dewan bersetuju supaya Wan Saiful dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan mahu Wan Saiful yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan susulan beliau membuat kenyataan mendakwa terdapat cubaan membeli sokongan beliau kepada Perdana Menteri pada Februari dan Mac lalu.
Berdasarkan usul dibaca Datuk Seri Azalina Othman, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan membuat penentuan sama ada kenyataan tersebut mengelirukan dewan serta merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes terbabit.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, di dalam usul perenggan ketiga dengan jelas menteri yang membentangkan itu mengatakan bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah membawa perkara yang dalam pertimbangan mahkamah atau bahasa undang-undangnya subjudis.
“Kalau perkara itu merupakan subjudis, ia tidak boleh dibawa bincang untuk perbahasan. Itu dari segi undang-undang. Kita menyatakan itu subjudis kerana ia disebut sendiri oleh usul itu.
“Namun, speaker telah ‘bulldoze’ mengatakan itu bukan subjudis walaupun itu adalah pengakuan pembawa usul itu sendiri bahawa ia adalah subjudis. Bagi kami itu adalah satu kesalahan undang-undang, bukannya prosedur.
“Kalau prosedur boleh dibaiki, tetapi ini undang-undang. Jadi apa yang diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat adalah satu perkara yang tidak sah bagi kami,” katanya. – UTUSAN










