SOALAN:
Isteri saya seorang yang sangat baik. Tapi yang menjadi masalah ialah isteri tidak mahu menunaikan
solat. Puas saya mengajak isteri untuk solat bersama-sama, tetapi dia enggan.
-SANG BERDUKA
JAWAPAN
Kehadiran wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki merupakan pelengkap dalam kehidupan sebuah rumahtangga.
Saling menjaga dan menghormati antara satu sama lain adalah kunci kejayaan dalam rumahtangga.
Namun begitu, tidak semua dapat merasai keberuntungan selepas memiliki isteri. Dapat yang baik, suatu kenikmatan dan kebahagiaan dalam keluarga.
Namun bagaimana pula jika isteri dimiliki itu sukar menerima nasihat dan bersikap keras kepala?. Sangat mentaati suami tapi berdolakdalik untuk mentaati perintah Allah.
Menghadapi situasi seperti ini memerlukan pendekatan bijaksana dan penuh hikmah. Berikut beberapa langkah boleh anda ambil:
a)Berkomunikasi – Bincangkan perkara ini dengan isteri secara baik-baik. Jelaskan akan kepentingan menunaikan solat sebagai seorang muslim, bahawa ia bukan sahaja sebagai ibadah tetapi suatu kewajiban yang diperintahkan oleh Allah.
b)Tunjuk contoh yang baik – Jadilah teladan yang baik kepada isteri dengan menunjukkan kesungguhan
dan komitmen anda dalam menunaikan solat. Kadangkala, tindakan lebih berkesan daripada kata-kata.
c)Fahami keadaan isteri – Berusaha untuk memahami isteri. Mungkin ada sebab lain yang membuat isteri sukar untuk menunaikan solat seperti sedang menghadapi tekanan atau masalah yang membuatkannya sukar untuk melaksanakan ibadah. Berikan sokongan dan bantuan diperlukan. Jelaskan
kepada isteri bahawa setiap permasalahan dalam hidup boleh mendapat ketenangan dan penyelesaian dengan lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.
d)Merujuk pakar dalam agama – Boleh dapatkan nasihat daripada ustaz atau tokoh agama yang dipercayai. Mereka mungkin dapat memberi panduan atau cara yang lebih efektif untuk mengajak isteri anda menunaikan solat.
e)Sediakan bahan bacaan di rumah – Beli buku dan ajak isteri untuk bersama-sama membaca dan mempelajari buku-buku agama yang menjelaskan kepentingan solat. Mungkin dengan memahami hikmah dan ganjaran solat, hatinya akan lebih terbuka untuk menunaikan kewajiban ini.
f)Doa dan kesabaran – Berdoalah kepada Allah agar melembutkan hati isteri anda dan memudahkan urusannya dalam menunaikan solat. Kesabaran dan doa adalah senjata yang paling kuat dalam
menghadapi cabaran.
Menghadapi ujian ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi dengan pendekatan yang penuh kasih sayang dan hikmah, mudahmudahan isteri anda akan terbuka hati untuk menunaikan solat.










