England semakin tertekan

England semakin tertekan

GARETH SOUTHGATE - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRANKFURT: Pengurus England, Gareth Southgate mengakui keputusan seri 1-1 menentang Denmark menunjukkan mereka menghadapi kesukaran menangani tekanan sebagai salah satu pasukan pilihan dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2024.

England menjadi pasukan pilihan sebaik tiba di Jerman bagaimanapun mereka gagal membuktikannya dalam dua aksi pertama Kumpulan C.

Skuad Three Lions itu bernasib baik apabila menang 1-0 ketika menentang Serbia selepas mempamerkan aksi goyah terutamanya di babak kedua.

Malah mereka turut menunjukkan persembahan rapuh di Frankfurt sehingga jaringan Harry Kane pada minit ke-18 berjaya disamakan oleh Morten Hjulmand sebelum rehat.

“Jelas kami kecewa dengan persembahan daripada dua perlawanan ini. Kami perlu membuat analisis dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Kami akan meluangkan masa untuk melakukannya.

“Kami tahu tahap kami boleh lebih tinggi. Mungkin perkara paling besar adalah kami perlu menerima persekitaran dan menepati jangkaan yang diberikan.

“Kami berada dalam persekitaran yang mana semua pasukan mahukan kemenangan. Pemain berusaha. Kami perlu mencari lebih banyak kualiti dalam apa yang kami lakukan,” kata Southgate.

England sepatutnya berada di tangga teratas Kumpulan C dengan kemenangan menentang Denmark namun menerima kritikan daripada penyokong yang kecewa dengan persembahan mereka.

“Jika kami tidak menang kami perlu menerimanya. Saya faham sepenuhnya kekecewaan penyokong terhadap cara kami bermain. Ini tanggungjawab saya sebagai pengurus. Saya perlu mencari penyelesaian.

“Saya diberitahu England tidak pernah memenangi dua perlawanan kumpulan berturut-turut. Ada sebab untuk itu. Kami perlu kekal tenang dalam kumpulan dan mencari jawapan,” katanya lagi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN