SIK: Seorang warga emas tidak menyangka ekor reptilia yang terjuntai di dalam bilik air rumahnya di Kampung Betong, di sini merupakan seekor ular tedung selar sepanjang hampir empat meter.
Ishak Tasu, 69, berkata, kejadian pada pukul 10 malam tadi disedarinya ketika hendak ke bilik air berkenaan dan menyangka reptilia itu cuma biawak.
“Selepas keluar dari bilik air saya masih memikirkan tentang ekor tersebut. Saya tidak puas hati lalu masuk semula ke bilik air dengan mengajak menantu untuk melihat dengan lebih dekat.
“Kami terkejut kerana rupa-rupanya ia ekor ular tedung selar bersaiz besar yang sedang menyelinap masuk ke dalam siling rumah,” katanya ketika ditemui.
Menurut Ishak, dia bersyukur kerana reptilia itu tidak menyerang isterinya, Faridah Wahab, 60, yang terlebih dahulu memasuki bilik air itu untuk mandi dan berwuduk sebelum itu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt. (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.22 malam sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menjerut reptilia berkenaan berikutan ular itu berada di sudut sukar sehingga kami terpaksa memecahkan siling rumah tersebut.
“Namun dengan menggubakan peralatan khas, ular tedung selar seberat lapan kilogram (kg) itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – UTUSAN










