Syed Saddiq salur bantuan lebih RM6.2 juta kepada penduduk Muar - Utusan Malaysia

Syed Saddiq salur bantuan lebih RM6.2 juta kepada penduduk Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyalurkan bantuan bernilai lebih RM6.2 juta kepada masyarakat di kawasan Parlimennya dalam tempoh kira-kira setahun setengah.

Syed Saddiq berkata, jumlah bantuan itu berjaya disalurkan hasil pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukannya meskipun kawasan Parlimen Muar tidak menerima peruntukan daripada kerajaan.

Menurutnya, keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada terus mencari pelbagai ikhtiar bagi memastikan kebajikan dan keperluan penduduk di kawasannya terus terbela.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun hingga setahun setengah, pelbagai jenis bantuan bernilai lebih RM6.2 juta sudah disalurkan kepada masyarakat Muar.

“Pada masa sama, saya tidak pernah culas dalam melaksanakan tanggungjawab. Rekod saya di Parlimen boleh dilihat, bukan sahaja mencatatkan kehadiran 100 peratus dalam persidangan Dewan Rakyat, malah 100 peratus di peringkat jawatankuasa dan ketika proses pindaan Perlembagaan.

“Saya tidak mahu culas. Namun, dalam melaksanakan tanggungjawab, saya perlu berfikir di luar kotak dan akan terus menggunakan pendekatan sedemikian untuk membela rakyat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya sudah kehilangan aura sebagai ahli politik susulan pembabitannya dalam industri hiburan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, sepanjang enam tahun berkecimpung dalam politik, beliau terpaksa membuat beberapa keputusan sukar termasuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Katanya, keputusan untuk berundur daripada jawatan tersebut dibuat kerana berpegang kepada prinsip bahawa seseorang yang mahu memainkan peranan dalam membangunkan negara perlu mempunyai tahap integriti yang tidak boleh dipersoalkan.

“Saya percaya jika kita mahu membangunkan negara, kita perlu menjadi lebih putih daripada putih (whiter than white).

“Sebab itu saya mengambil langkah ke belakang untuk membuktikan kebenaran di mahkamah dan membersihkan nama saya. Kini, alhamdulillah, saya sudah membuktikannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN