KUALA LUMPUR: Thailand akhirnya mengiktiraf sepak takraw Malaysia ketika ini lebih baik berbanding skuad Gajah Perang selepas mereka tewas dalam acara beregu dan regu pada final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Pengurus skuad Thailand, Supot Tumpracha berkata, penilaian berkenaan berdasarkan prestasi semasa pemain pada dua aksi final, namun beliau tetap mahu melihat kebangkitan pasukannya dalam aksi regu berpasukan
Katanya, harapan tinggi diletakkan dalam acara berpasukan dan Thailand juga bermula baik selepas menang dua perlawanan peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan B.
“Sekarang pemain Thailand semakin baik (selepas tewas kepada Malaysia), jurulatih boleh guna banyak pemain dalam acara berpasukan dan keyakinan kami juga bertambah bagus, kami akan buktikan dalam perlawanan seterusnya.
“Memang pemain terkesan apabila kalah kepada Malaysia dan kami terima kekalahan itu, tahniah kepada Malaysia. Buat masa sekarang, saya akui Malaysia lebih kuat berbanding Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, skuad berpasukan Thailand mudah membenam China 3-0 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B, semalam mereka turut mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas India.
Mengulas lanjut, Supot yang juga ketua jurulatih Thailand turut mengakui ‘kegilaan’ lebih 2,000 penyokong tuan rumah juga menjadi antara punca utama pasukannya tersungkur di Stadium Titiwangsa kelmarin.- UTUSAN










