Program percubaan makanan tengah hari percuma untuk pelajar

Program percubaan makanan tengah hari percuma untuk pelajar berjaya 

PELAJAR sekolah rendah Islam Gelarsari di Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat, menerima makan tengah hari percuma semasa percubaan program. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKABUMI: Program percubaan menyediakan hidangan percuma sehari membuahkan hasil bukan sahaja melegakan kewangan isi rumah rakyat Indonesia, tetapi juga meningkatkan nutrisi pemakanan kanak-kanak, kehadiran ke sekolah dan tumpuan dalam kelas.

Inisiatif makan tengah hari sekolah percuma untuk kanak-kanak daripada keluarga miskin atau kurang bernasib baik ini diperkenalkan oleh Presiden Indonesia yang baru terpilih, Prabowo Subianto dan Naib Presidennya, Gibran Rakabuming Raka sebagai salah satu janji kempen utama mereka.

Gibran ialah anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Bagaimanapun, apabila program ini dilancarkan, ia menghadapi kritikan terhadap kos dan kemapanannya.

Pasangan yang memenangi Pilihan Raya Presiden pada 14 Februari lalu akan dirasmikan jawatan mereka pada Oktober ini.

Sebelum pemilihan itu, kedua-duanya berjanji untuk menawarkan makan tengah hari dan susu percuma untuk pelajar serta bantuan pemakanan kepada kanak-kanak dan wanita hamil dalam cuba menurunkan kadar bantut negara.

Lebih 20 peratus kanak-kanak Indonesia di bawah umur lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut pada 2022, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Apabila dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2029, program itu akan meliputi 83.9 juta penerima di seluruh negara keempat paling ramai penduduk di dunia iaitu hampir 280 juta, dan menelan belanja lebih 400 trilion rupiah (RM117.6 bilion) setahun, kira-kira dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahunan.

Tetapi di lapangan, percubaan yang pertama kali dilancarkan pada Januari lalu di 16 sekolah di Sukabumi, di Jawa Barat, diterima dengan baik oleh sekitar 3,500 pelajar, ibu bapa dan pemimpin sekolah mereka, yang melihat perubahan positif.

Suri rumah,  Rofiati, 46, berkata, penjimatan kos makan tengah hari untuk empat daripada sembilan anaknya memberikan kelegaan kewangan yang besar kepadanya.

Suaminya, seorang guru di sebuah pondok pesantren di Sukabumi berpendapatan purata 2.5 juta rupiah (RM735) sebulan dan makanan sekolah percuma membantu mereka menjimatkan kira-kira 420,000 rupiah (RM73.5) sebulan yang boleh digunakan untuk keperluan isi rumah yang lain.

Anak-anaknya selalunya tidak bersarapan sebelum sekolah.

Sebelum program makan tengah hari percuma, anak-anaknya akan makan tengah hari hanya selepas pulang dari sekolah. 

Makan tengah hari biasanya terdiri daripada mi segera, atau hidangan sayur-sayuran, telur, tempe atau ikan masin. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×