JAKARTA: Sebuah pesawat yang membawa 468 orang dari Indonesia ke Arab Saudi termasuk jemaah haji melakukan pendaratan cemas semalam akibat kebakaran enjin.
Menurut Garuda Indonesia, penerbangan Garuda 1105, Boeing 747-400 ke Madinah kembali ke lapangan terbang asalnya di bandar Makassar Indonesia pada pukul 5.15 petang (waktu tempatan).
Jelas syarikat penerbangan itu, semua penumpang tidak cedera.
Presiden Garuda, Irfan Setiaputra berkata, keputusan itu dibuat oleh juruterbang sejurus berlepas memandangkan masalah enjin yang memerlukan pemeriksaan lanjut selepas percikan api diperhatikan dalam salah satu enjin.
Jelasnya, terdapat 450 penumpang dan 18 anak kapal dalam penerbangan itu termasuk jemaah haji.
Katanya, mereka semua dialihkan ke tempat penginapan sebelum menaiki penerbangan gantian ke Arab Saudi, katanya.
Rakaman yang disiarkan dalam media sosial yang belum disahkan oleh AFP, dikatakan menunjukkan enjin pesawat itu terbakar ketika ia berlepas.
Pesawat ini didaratkan untuk siasatan keselamatan, kata Irfan.
Syarikat penerbangan itu, 60 peratus dimiliki oleh Indonesia, mengalami kerugian besar semasa pandemik Covid-19 berikutan perintah kawalan pergerakan dan penurunan permintaan sehingga mereka terpaksa memberhentikan ratusan pekerja.
Kepulauan Asia Tenggara sangat bergantung pada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulaunya tetapi kemalangan pesawat maut kerap berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Rekod penerbangan termasuk nahas pada 2021 di mana sebuah jet penumpang Sriwijaya Air secara misteri terjun ke laut Jawa selepas berlepas dari ibu kota Jakarta, mengorbankan kesemua 62 orang di dalamnya.
Pada Mac lalu, kementerian pengangkutan Indonesia berkata, pihaknya membuka siasatan terhadap syarikat penerbangan tempatan Batik Air selepas dua juruterbangnya didapati tertidur semasa penerbangan. -AFP










