Perkeso bayar faedah RM5 juta melalui SKSPS

Perkeso bayar faedah RM5 juta melalui SKSPS

STEVEN Sim (tengah) ketika menyerahkan sijil caruman SKSPS kepada penjaja Pasar Awam Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat pembayaran faedah berjumlah hampir RM5 juta kepada Orang Berinsurans (OB) yang mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di seluruh negara sejak Januari hingga 31 Mac lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, menerusi caruman tersebut, pencarum menerima manfaat dalam bentuk faedah sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung.

Katanya, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak RM320,000 dalam bentuk pembayaran faedah telah diberikan kepada pencarum di negeri ini untuk tempoh sama.

“Tahun ini, kita menyasarkan sehingga satu juta pekerja yang bekerja sendiri mencarum dengan SKSPS dan setakat ini, sudah ada 500,000 pencarum aktif.

“Kita mahu mereka tahu bahawa individu yang bekerja sendiri juga boleh dilindungi dan berpeluang menikmati pelbagai faedah antaranya faedah perubatan, kehilangan upaya sementara dan kekal sekiranya ditimpa kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Tajaan SKSPS Kepada Penjaja Kawasan Bukit Mertajam di Pasar Awam Taman Sri Rambai, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen serta Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Seramai 2,000 penjaja yang berdaftar di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima manfaat penuh SKSPS yang mana 90 peratus bayaran caruman untuk tempoh setahun itu ditanggung kerajaan manakala baki 10 peratus lagi dibiayai wakil rakyat setempat.

Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sehingga RM100 juta menerusi Belanjawan 2024 untuk menanggung 90 peratus nilai caruman SKSPS.

“Justeru, kita berharap lebih ramai golongan bekerja sendiri akan mengambil peluang ini untuk mencarum SKSPS bagi membolehkan mereka dilindungi ketika menjalankan tugas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN