PETALING JAYA: Pelakon, Vanidah Imran, 51, berharap kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan tangga gaji merangkumi penggiat industri seni tempatan.
Kata Vanidah, pelaksanaan tersebut penting untuk membolehkan seluruh penggiat industri berkaitan menerima bayaran setimpal dengan pengalaman dan kualiti kerja selain melindungi kebajikan mereka.
“Beberapa tahun lalu, pengarah, Datuk Shuhaimi Baba pernah mencadangkan kepada kementerian berkaitan agar tangga gaji ini diperkenalkan secara berperingkat.
“Cadangan tersebut merangkumi peringkat permulaan, membabitkan pengarah, penulis skrip, pelakon utama (lelaki) dan aktres.
“Namun ia terkubur begitu sahaja tanpa tindakan susulan sampai ke hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelakon filem Imam itu pada masa yang sama meluahkan rasa kecewa apabila cadangan berkenaan, yang diserahkan kepada kementerian terbabit beberapa tahun lalu, tidak diusahakan.
“Saya harap kali ini kementerian berwajib ralisasikan apa yang dicadangkan orang industri sebelum ini.
“Masalah royalti atau bayaran tidak setimpal akan terus membelenggu industri seni sekiranya tangga gaji tidak dilaksanakan,” luahnya.











