Kos pembinaan sesebuah masjid lazimnya mencecah puluhan juta ringgit.
Dana bagi proses itu biasanya disediakan oleh badan kerajaan atau syarikat persendirian dalam skala yang besar.
Namun, berbeza dengan Masjid Bandar Bukit Raja yang terletak di Klang kerana hampir 90 peratus dana disumbangkan oleh orang ramai.

Nazirnya, Md. Nazri Mohamed Nor berkata, daripada keseluruhan kos mencecah RM12 juta, 87 peratus daripadanya adalah sumbangan orang.
Katanya, dana selebihnya pula adalah pemberian dari kerajaan Persekutuan dan pemaju perumahan sekitar.
“Masjid ini dibina atas sumbangan orang ramai menerusi konsep wakaf dan infak.
“Dana kutipan sebanyak RM10.35 juta iaitu 87 peratus daripada keseluruhan dana yang digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beroperasi pada April 2022, masjid berkeluasan 1.7 hektar ini mampu menampung lebih 1,800 jemaah dalam satu-satu masa.
Bagi memberikan kemudahan kepada jemaah, masjid ini turut dilengkapi sistem PA berkualiti tinggi, jam azan digital dan televisyen LED ketika penyampaian khutbah.
Turut disediakan tandas dan bilik wuduk yang luas, taman permainan kanak-kanak dan dua gazebo.
“Televisyen LED sebesar 85 inci itu berfungsi untuk siaran khutbah Jumaat.
“Di samping itu, ia juga digunakan bagi acara siaran langsung seperti kuliah Maghrib,” katanya.

KONSEP LESTARI
Masjid Bandar Bukit Raja turut mengetengahkan konsep kelestarian alam dalam operasinya setiap hari.
Bagi menjimatkan tenaga dan seterusnya mengurangkan kos, perkakas pintar digunakan di beberapa tempat.
Antaranya, sistem penuaian air hujan sebagai bekalan air tangki tandas dan pemasangan lampu jenis LED untuk keseluruhan bangunan serta jalan.
Selain itu, kepala paip pintar turut dipasang di tempat wuduk.
Menurut Md. Nazri, bagi elektrik pula, pihaknya memasang tiga kipas gergasi tanpa motor.
“Ini memberikan banyak penjimatan dari segi bil utiliti.dengan perbelanjaan yang tidak melebihi RM1,000 setiap bulan,” katanya.











