MAB terus setia taja Harimau Malaya

MAB terus setia taja Harimau Malaya

MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) akan menjadi penaja utama Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga 2026.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) masih setia sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan badan induk bola sepak itu.

Pada Isnin lalu, kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian penajaan bagi tempoh tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat penerbangan itu.

“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.

“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat dicapai bersama. Terima kasih sekali lagi kepada MAB dan semoga jalinan kerjasama ini akan memacu dua organisasi ini ke arah kecemerlangan,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, kerjasama itu merupakan satu penghormatan kepada FAM dan Harimau Malaya selain dapat membawa bendera Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, kami amat berbesar hati dapat meneruskan kesinambungan usaha dan tanggungjawab kami dalam membawa bendera Malaysia ke arena antarabangsa selain menyokong pembangunan sukan dalam negara.

“Kami amat berbangga kerana dapat terus memberikan khidmat kami kepada skuad bola sepak kebangsaan sekali gus memberi sokongan berterusan kepada pihak FAM melalui kerjasama yang tertera di bawah penajaan yang telah masuk tahun keenam secara berturut-turut dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini untuk tiga tahun lagi sehingga penghujung tahun 2026,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN