Lama idam watak ‘jahat’, MK tak risau dibenci - Utusan Malaysia

Lama idam watak ‘jahat’, MK tak risau dibenci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana itu hanya sekadar lakonan.”

Demikian jawapan pelakon dan penyanyi, MK K-Clique apabila ditanya adakah dia bersedia berhadapan dengan kecaman peminat apabila melakonkan watak antagonis dalam filem baharu, Rebel: Berontak Untuk Berotak.

MK yang sinonim dengan watak hero romantis dalam drama cinta berkata, watak Bono dalam filem Rebel : Berontak Untuk Berotak menampilkan sisi berbezanya malah menyerlahkan kemampuan lakonannya.

“Sebenarnya, saya sudah lama mengidamkan watak jahat (antagonis) dalam filem genre aksi sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

“Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Datuk Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

“Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi MK, dia banyak membuat rujukan dengan menonton filem genre aksi dari dalam dan luar negara sebagai persediaan membawakan watak yang berbeza daripada sebelum ini.

“Selaku pengarah, Awie juga banyak memberi bimbingan bagaimana untuk menjiwai watak Bono dalam filem itu.

“Saya terima tawaran pun kerana mahu bekerja dengan Awie kerana dia juga sama seperti saya dari penyanyi menjadi pelakon dan kini pengarah,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.

“Sebagai pelakon baharu, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat professional ketika bekerja.

“Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.

“Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi,” katanya.
Rebel: Berontak Untuk Berotak yang membuka tirai tayangan 2 Mei lalu diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Selain Ben dan MK K-Clique, filem arahan sulung Awie itu turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya