KETIKA lawatan ke Jepun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya dua soalan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, “Kenapa dia sibuk mempertahankan golongan kaya dan orang luar?” dan “Adakah Perikatan Nasional (PN) akan terus memberikan subsidi kepada golongan kaya dan orang luar (sekiranya berkuasa)?
Dua soalan ini sememangnya soalan-soalan membunuh (killer questions) kerana rekod umum ada bahawa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, juga tidak bersetuju dengan pemberian subsidi pukal dan mahukan subsidi bersasar kerana kata beliau pada 30 Julai 2022 kajian mendapati 50 atau 51 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang kaya.
Atas sebab ini Ketua Pembangkang tidak mampu menjawab kedua-dua soalan Perdana Menteri. Sebaliknya beliau hanya mengeluarkan ungkapan retorik yang siapa sahaja pun boleh buat, iaitu “Dasar PN adalah jelas, iaitu kami akan sentiasa membela rakyat dan akan terus berusaha untuk membesarkan kek ekonomi negara agar kemakmuran dapat dinikmati bersama.”
Jawapan Ketua Pembangkang ini langsung tidak menjawab kedua-dua soalan Perdana Menteri. Kenyataan “PN akan sentiasa membela rakyat dan akan terus berusaha untuk membesarkan kek ekonomi negara” ini sepertinya bermakna PN akan meneruskan pemberian subsidi pukal tetapi jika benar begitu mengapa beliau tidak ada keberanian untuk menyatakannya secara terbuka?
Apa usaha yang PN buat untuk membesarkan kek ekonomi negara ini gagal dijelaskan. Mengapa PN berpendapat ia perlu terus memberikan subsidi kepada golongan kaya dan orang luar juga gagal dijelaskan. Lebih penting lagi mengapa Ketua Pembangkang berbeza pandangan dengan Pengerusi PN yang tidak bersetuju dengan pemberian subsidi pukal juga gagal dijelaskan.
Ketua Pembangkang juga membuat tiga dakwaan liar tanpa penjelasan dan tanpa perincian mengenai pengumuman pemberian subsidi bersasar diesel oleh Perdana Menteri.
Dakwaan pertama ialah “Akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari “kais pagi, makan pagi” mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya”.
Dakwaan kedua ialah “Isu pokok yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi, yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat”.
Dakwaan ketiga ialah “Jangkaan seorang Pensyarah Kanan Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) harga barangan akan naik antara 3 hingga 5 peratus susulan pemotongan subsidi minyak. Bila itu berlaku, siapa mangsanya?”
Dakwaan pertama ialah dakwaan paling karut sekali kerana terang-terang sudah dinyatakan oleh Perdana Menteri bahawa penjimatan RM4 bilion ini adalah diambil dari kumpulan T20 dan warga asing. Ia juga dikembalikan kepada golongan miskin melalui pelbagai bentuk bantuan.
Cubaan menggunakan kenyataan seorang Pensyarah Kanan Ekonomi dari UKM bahawa akan berlaku kenaikan harga barangan antara 3 hingga 5 peratus susulan pemberian subsidi bersasar diesel ini juga adalah satu cubaan tidak bertanggungjawab oleh Ketua Pembangkang.
Kenyataan Dr. Ahmad Monir Abdullah pada 24 Mei ini dipetik secara terpisah dan tidak diberikan sepenuhnya oleh Ketua Pembangkang sehingga memberi gambaran salah seolah-olah beliau memberikan persepsi negatif ke atas cadangan pemberian subsidi bersasar diesel ini.
Ahmad Monir sebenarnya menyebut cadangan ini akan membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan dan menyalurkannya kepada program dan inisiatif yang lebih bermanfaat kepada rakyat sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan dan kuasa beli rakyat dalam jangka panjang.
Beliau juga menyebut mungkin akan berlaku peningkatan harga barang dan perkhidmatan, tetapi peningkatan ini “masih dalam lingkungan terkawal” dan “dijangka hanya sementara yang boleh diselaraskan melalui mekanisme kerajaan yang efisien”.
Ketua Pembangkang juga tidak bertanggungjawab kerana hanya memetik secara di luar konteks kenyataan seorang Pensyarah Kanan Ekonomi sedangkan kenyataan positif daripada pakar-pakar ekonomi bertaraf Profesor dan Profesor Emeritus yang jauh lebih berwibawa tidak dipetik sama.
Contohnya, Pakar Ekonomi dan Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menulis dalam rencana beliau pada 24 Mei: “Kerajaan akan terus memberikan subsidi kepada kumpulan kenderaan memberikan perkhidmatan kepada orang awam termasuk semua jenis bas seperti bas mini dan pengantara, kenderaan awam dan pembekal perkhidmatan asas. Jadi dengan penghapusan subsidi pada diesel ini, harga barang dan perkhidmatan pengguna dijangka tidak naik.”
Begitu juga Pakar Ekonomi daripada Universiti Sunway, Profesor Dr. Yeah Kim Leng, yang berkata pada 22 Mei: “Langkah kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api bermula dengan diesel dilaksanakan secara berhati-hati dengan pelbagai kumpulan sasaran terlindung daripada kesan kenaikan harga menerusi bantuan kad pembayaran bahan api dan bayaran tunai. Kos pengangkutan juga tidak sepatutnya meningkat kerana kebanyakan pengendali diberikan subsidi diesel.”
Analisis bank-bank tempatan juga positif. CIMB Securities contohnya berkata pada 23 Mei: “Kami percaya kebanyakan kenderaan komersial yang digunakan untuk pengangkutan darat oleh syarikat pengguna berkemungkinan layak untuk skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), memastikan harga produk kekal tidak terjejas.”
Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula berkata pada 24 Mei: “Kesan inflasi daripada penyasaran subsidi diesel seharusnya boleh diurus kerana bahan api itu hanya menyumbang 0.2 peratus dalam bakul indeks harga pengguna (IHP) kerana logistik dan pengangkutan awam akan kekal mendapat subsidi.”
Ringkasnya, kenyataan media Ketua Pembangkang ini penuh dengan kritikan tidak berasas terhadap kerajaan dan lebih malang lagi ia tidak disertakan dengan sebarang perincian dasar alternatif yang jelas, spesifik dan lebih baik yang ditawarkan oleh PN. Ia umpama tong kosong, hanya mampu mengkritik tetapi gagal menyediakan solusi yang praktikal dan efektif. – UTUSAN
DR. Rosli Allani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.










