PETALING JAYA: Prestasi dua pelumba basikal trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencetuskan kebimbangan selepas pulang dengan tangan kosong dalam saingan Piala Trek Jepun di Velodrom Izu di Shizuoka, Jepun minggu lalu.
Biarpun, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley mengakui perlumbaan di Jepun itu hanya sebahagian daripada fasa latihan, kejohanan itu juga boleh menjadi kayu pengukur prestasi kedua-dua atlet berkenaan sebelum bersaing di Paris pada Julai depan.
Beasley berkata, meskipun tidak membawa pulang sebarang pingat, Izzah banyak menimba ilmu ketika berkayuh di negara matahari terbit itu dan beliau juga percaya pelumba muda itu masih dalam proses untuk membentuk dirinya.
“Izzah masih muda dan masih dalam proses. Semakin perlumbaan yang beliau lalui semakin banyak yang dia pelajari. Ini semua tentang pembelajaran untuk Izzah dan layak ke Paris (Olimpik 2024) akan menjadi pengalaman yang hebat untuknya.
“Los Angeles (Olimpik 2028) kekal menjadi perancangan membentuk Izzah walaupun pelumba berusia muda yang layak ke sukan terbabit hanya dicapai oleh Azizulhasni setakat ini.
“Saya juga mahu mengingatkan, Fatehah Mustapha ketika beliau layak ke Olimpik baru sahaja berusia 23 tahun. Saya tahu Izzah boleh pergi lebih jauh daripada ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perlumbaan di Jepun, Izzah berada di tempat ketujuh menerusi acara keirin wanita selepas gagal meloloskan diri ke final Ahad lalu.
Dalam pada itu, Beasley mendedahkan beliau tetap gembira dengan prestasi Shah Firdaus di Jepun walaupun pelumba berkenaan kelihatan ‘tenggelam’ sejak awal tahun ini.
“Shah sedikit mendatar pada masa ini walaupun itu kerana kejohanan ini hanya perancangan untuk fasa latihan. Ada bahagian yang perlu kami usahakan walaupun kami tahu di mana kami berada dan saya gembira dengan prestasinya,” katanya.-UTUSAN










