BAITULMUQADDIS: Israel berada di bawah tekanan diplomatik yang besar untuk menerima gencatan senjata tiga peringkat yang dipersetujui Hamas.
Hal ini jelas walaupun Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mahu meneruskan serangan yang dirancang di Rafah.
Lapor The Guardian, Pejabat Netanyahu berkata bahawa cadangan yang diterima Hamas adalah jauh daripada tuntutan penting Israel tetapi pihaknya tetap akan menghantar perunding untuk meneruskan perbincangan mengenai perjanjian.
Pada masa yang sama, tentera Israel berkata, mereka sedang melakukan serangan bersasar terhadap Hamas di timur Rafah.
Gesaan agar Israel tidak meneruskan serangan besar-besaran ke atas Rafah, di selatan Gaza, juga berkemungkinan akan digandakan dengan Jabatan Negara AS.
Jabatan berkenaan mengatakan tiada rancangan Israel yang boleh dipercayai berikutan Israel mengarahkan 100,000 orang berpindah dari timur bandar berkenaan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, pihaknya akan membincangkan tindak balas Hamas dengan sekutunya dan perjanjian itu benar-benar boleh dicapai.
Dalam pada itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan adalah seorang daripada pemimpin dunia yang menggesa agar Israel menerima gencatan senjata.
Bercakap selepas mesyuarat Kabinet pada petang Isnin, beliau menggesa negara-negara Barat meningkatkan tekanan ke atas kepimpinan Israel untuk menerima perjanjian gencatan senjata.
“Kami mengalu-alukan kenyataan Hamas bahawa mereka menerima gencatan senjata dengan cadangan kami. Sekarang, Israel mesti mengambil langkah yang sama,” kata Erdoğan.
Perancis pernah berkata bahawa ia akan menjadi jenayah perang bagi Israel untuk secara paksa memindahkan ribuan orang awam Palestin yang tinggal di kem di Rafah di sempadan Mesir-Gaza.
Israel berkata ia memulakan operasi untuk memindahkan 100,000 rakyat Palestin dari bandar itu sebagai pelopor bagi serangan untuk menghapuskan baki batalion Hamas yang beroperasi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres, sangat bimbang dengan tanda-tanda bahawa operasi ketenteraan berskala besar di Rafah mungkin akan berlaku.
Menurut jurucakapnya, Guterres menggesa Israel dan Hamas untuk bekerja lebih keras bagi memastikan perjanjian menjadi kenyataan dan menghentikan penderitaan sekarang.
Hamas juga sedang mendapatkan jaminan sebaik-baiknya dari AS, Russia, China dan Turkiye bahawa Israel akan menamatkan serangan ke atas Gaza secara kekal, walaupun kumpulan itu tidak bersedia.










