DILAHIRKAN dalam keluarga miskin dan ibu bapanya pula buta huruf tidak menjadi halangan buat seorang pemuda bergelar pendidik.
Guru, Ahmad Safarman Dollah, 45, berkata, kemiskinan hidup turut memaksa kakak sulungnya tidak meneruskan persekolahan bagi memastikan adik beradik yang lain tidak keciciran dalam pelajaran.
Pemuda asal Kota Bharu, Kelantan ini, mengakui pengorbanan kakaknya kekal berbekas dalam ingatan.
Itulah juga yang menjadi motivasi untuknya terus berbakti kepada keluarga dengan menabur khidmat sebagai guru.
“Ibu bapa saya hanyalah penoreh getah dan pesawah padi. Walaupun kais pagi makan pagi kais petang makan petang namun kami sekeluarga tetap bersyukur dan bahagia.
“Melihat sendiri kepayahan dilalui menjadikan saya semakin bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan berazam mengubah nasib keluarga pada suatu hari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Antara pencapaian diraih ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Guru Data Cemerlang Perak, Anugerah Khas Hari Guru Daerah Hulu Perak, Anugerah Guru Cemerlang Hebat Bahasa Perak sempena
Hari Guru 2022.
Kemuncak kerjayanya, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds.

KIKIS SIFAT MALU
Keputusan cemerlang diraihnya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membolehkan Safarman
menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sastera Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Laluannya sebagai pendidik bermula apabila beliau mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah KPLI (Pengajian Melayu) di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPG) pada 2009.
“Sebelum mengikuti kursus perguruan, saya berkhidmat sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan buku. Di sana saya dilatih bercakap di depan khalayak. Sebelum ini saya adalah seorang individu pemalu. Keyakinan diri mula terbit apabila saya kerap kali disuruh membuat pembentangan tugasan dalam
kuliah.
“Saya beruntung kerana mempunyai pensyarah dan rakan yang sangat memahami. Kami teruja
menjalani kehidupan di kampus selain memberi fokus kepada pembelajaran masing-masing. Perasaan inisemakin menggunung dan ia menyuntik semangat saya untuk menjalani profesion perguruan dengan cemerlang,” katanya.
Tamat pengajian pada 2010, Safarman mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ayer Kala, Lenggong Perak sebelum bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik, Perak.
Awal tahun ini Safarman ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Jeli Kelantan.
Kerja pendidik perlu bersiap-siaga untuk berkhidmat sama ada di bandar atau kawasan pedalaman seluruh negara seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.
“Saya gembira mengajar di bumi pedalaman lantaran bebas daripada pencemaran dan kesesakan lalu lintas. Semua maklum Jeli digelar bandar paling bahagia dan terdapat banyak kawasan pelancongan menarik seperti Lata Kashmir, Lata Turbo, Lata Renyuk, Latang Keding dan sebagainya.
“Di sini saya lebih tumpu kepada ‘berkawan dengan alam’ kerana terdapat banyak tempat yang membuatkan saya sentiasa dalam keadaan tenang dan aman damai,” katanya.
KEPUASAN SEBENAR
Guru subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan juga Pendidikan Seni Visual ini berkata, kepuasan seorang guru bila dia memiliki pengalaman lama mengajar.
“Lagi lama mengajar lagi puas. Maksudnya seorang guru tidak hebat selagi dia tidak membawa kejayaan kepada anak muridnya. Contohnya, seorang murid tidak tahu memegang pensel untuk menulis, tidak boleh membaca dan mengira tetapi setelah diajar dengan teknik yang betul dan diberi kata semangat akhirnya murid tersebut berjaya melakukannya sehingga menjadi murid cemerlang yang bukan sahaja dari segi dalam pelajaran malah sahsiah peribadinya,” katanya.
Memiliki 15 tahun pengalaman sebagai seorang guru, Safarman pernah menolak tawaran memegang jawatan penting di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak kerana terlalu sayangkan dunia perguruan.
“Mendidik bukan mudah lantaran cabaran dan dugaan silih berganti. Namun sabar adalah aset utama untuk menjadi pendidik sejati.
“Kita perlu sedar yang kita pun ada anak yang diajar oleh guru lain. Anggaplah ia sebagai saham akhirat buat diri saya juga,” katanya.

RAIH KEJAYAAN
Anak bongsu daripada enam beradik turut meminati bidang penulisan yang dipupuk ketika berada di sekolah menengah lagi.
Kebanyakan hasil karyanya dalam bentuk sajak, cerpen dan novel pernah disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah tempatan.
Antara novel dihasilkan ialah Nasi Lemak Ikan Pekasam, Tasbih Buat Aishah dan Empangan Kuala Kenering.
Hasil perkahwinan dengan wanita pilihannya Nor Amalina Md. Nawi, 39, pasangan ini dikurniakan dua orang anak berusia tujuh dan sembilan tahun.










