WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menafikan bahawa perang Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.
Beliau juga menyelar permintaan keterlaluan oleh pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk waran tangkap bagi pemimpin Israel.
“Apa yang berlaku bukanlah pembunuhan beramai-ramai,” kata Biden dalam acara Bulan Warisan Yahudi Amerika di White House ketika beliau membincangkan konflik yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.
Kenyataannya merujuk khusus kepada kes di tribunal berbeza, Mahkamah Keadilan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICJ), yang menangani dakwaan Afrika Selatan bahawa perang Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.
Tetapi dia juga meningkatkan kritikannya terhadap ICC, mahkamah jenayah perang yang berasingan dengan mengatakan bahawa pihaknya menolak usaha Pendakwa raya ICC, Karim Khan untuk menangkap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menteri pertahanannya.
Karim juga meminta penahanan tokoh tertinggi Hamas termasuk ketua kumpulan Hamas di Gaza, Yahya Sinwar dan ketua politiknya, Ismail Haniyeh.
“Walau apa pun waran ini mungkin membayangkan, tidak ada persamaan antara Israel dan Hamas,” kata Biden kepada hadirin di Taman Mawar White House.
Biden berikrar sokongan kukuh untuk Israel, sambil menambah bahawa pihaknya berdiri bersama Israel untuk mengalahkan Sinwar dan seluruh kumpulan Hamas.
Presiden AS itu selanjutnya berikrar untuk membebaskan tebusan yang diambil oleh Hamas semasa serangan 7 Oktober lalu.
Beberapa jam sebelum itu, beliau mengeluarkan kenyataan bertulis yang mengatakan bahawa waran ICC adalah keterlaluan.
Kenyataan sokongan Biden datang walaupun terdapat ketegangan baru-baru ini berhubung perang Israel di Gaza.
AS baru-baru ini menahan penghantaran bom ke Israel dalam usaha untuk memberi amaran mengenai serangan di bandar Rafah di selatan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memberi amaran secara berasingan bahawa tindakan pendakwa ICC boleh menjejaskan rundingan gencatan senjata untuk menamatkan konflik Gaza.
“Kami menolak kesetaraan pendakwa raya Israel dengan Hamas. Ia memalukan,” kata Blinken dalam satu kenyataan.
Penggubal undang-undang AS dilaporkan sedang mempertimbangkan tindak balas perundangan yang menghukum ICC di tengah-tengah kemarahan dua parti di kalangan Republikan dan Demokrat.
Speaker Dewan Rakyat Republikan, Mike Johnson membidas keputusan mahkamah yang tidak berasas dan tidak sah.
Dia menuduh Biden melakukan kempen tekanan terhadap Israel, mengatakan negara itu melawan perang yang adil untuk terus hidup.
Biden berdepan tekanan politik di kedua-dua pihak menjelang pertembungan pilihan raya November ini dengan bekas Presiden AS, Donald Trump selain protes pelajar pro-Gaza menggegarkan kampus AS, manakala Republikan menuduhnya gagal menyokong sepenuhnya Israel.
White House enggan mengulas sama ada AS boleh mengambil tindakan balas termasuk sekatan terhadap ICC jika ia menyasarkan Israel.
Pada 2020, pentadbiran presiden ketika itu Donald Trump menyasarkan ICC dengan sekatan ke atas penyiasatannya di Afghanistan, tetapi pentadbiran Biden kemudian menarik balik.
Bagaimanapun, kedudukan AS yang samar-samar di atas mahkamah dicerminkan dalam fakta bahawa ia menyokong percubaan ICC untuk mendakwa Presiden Russia, Vladimir Putin berhubung pencerobohan Ukraine.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata bahawa AS akan terus membantu ICC dalam siasatannya terhadap dakwaan jenayah perang di Ukraine, walaupun mengecam tindakan Israel itu. -AFP










