WASHINGTON: Bekas calon presiden dari parti Republikan, Nikki Haley menulis “selesaikan Mereka!” pada peluru meriam Israel semasa lawatan ke Israel baru-baru ini.
Malah, Imej Haley sedang membongkok di hadapan palet peluru, menulis dengan pen penanda dikongsi dalam media sosial oleh Danny Danon, seorang ahli politik Israel dan bekas duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Imej kedua yang dikongsi Danon menunjukkan mesej yang ditandatangani Haley menunjukkan ayat “selesaikan mereka, Amerika cinta Israel, sentiasa.”
Danon menemani Haley sewaktu lawatan hujung minggu lalu.
Tindakan Haley dengan cepat dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia.
Israel menghantar kereta kebal ke pusat Rafah kerana didakwa berjuang untuk meneruskan misi ketenteraan mereka sekurang-kurangnya tujuh bulan lagi.
“Konflik bukan tempat untuk aksi. Konflik ada peraturan. Orang awam mesti dilindungi,” kata Amnesty International dalam satu kenyataan semalam sambil memberi reaksi negatif terhadap perbuatan Haley.
Serangan Israel selama tiga minggu di Rafah, Gaza mencetuskan bantahan daripada para pemimpin global selepas serangan udara pada hari Ahad lalu membunuh sekurang-kurangnya 45 orang apabila api menyala di sebuah kem khemah di daerah barat.
Mahkamah Dunia minggu lalu memerintahkan Israel menghentikan serta-merta serangan tenteranya ke atas Rafah, dalam keputusan tergempar penting dalam kes Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Bagaimanapun, Israel menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai.
Bekas Pengarah Eksekutif Human Rights Watch, Kenneth Roth berkata dalam aplikasi X bahawa Haley sewajarnya menandatangani dengan ayat yang jelas memihak kepada jenayah perang Israel.
Reuters tidak dapat menghubungi Haley untuk mendapatkan komen serta-merta mengenai tindakannya itu semalam.
Haley menjadi penyokong lama Israel yang mendapat kritikan antarabangsa yang memuncak selain memecahbelahkan ahli Parlimen AS berhubung sokongan pentadbiran Biden dan mencetuskan bantahan di kampus-kampus di seluruh Amerika Syarikat.
Kini, Kementerian kesihatan Gaza tempatan meletakkan angka kematian akibat perang itu lebih 36,000.
Terdapat juga kelaparan yang meluas di kawasan terkepung yang sempit dan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduknya dipindahkan.
Israel berkata ia bertindak mempertahankan diri selepas kumpulan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu membunuh kira-kira 1,200 orang dan merampas lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel. -REUTERS










