SINGAPURA: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) memberitahu bahawa negara itu sedang berusaha menghalang Malaysia daripada mempunyai bidang kuasa besar di mana kumpulan Hamas boleh mengumpul dana dan memindahkan wang.
Setiausaha Rendah Perbendaharaan untuk Keganasan dan Risikan Kewangan AS, Brian Nelson berkata, negaranya juga melihat keupayaan Iran untuk memindahkan minyak mereka yang bergantung kepada penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Malaysia.
Nelson yang berkata demikian ketika berucap di Singapura juga dijangka melawat Malaysia.
Reuters melaporkan minggu lalu bahawa lawatan itu dibuat ketika Jabatan Perbendaharaan AS meningkatkan tumpuannya terhadap pembiayaan pengganas melalui Asia Tenggara termasuk melalui usaha mengumpul dana dan penjualan minyak Iran yang haram.
Agensi berita itu melaporkan bahawa terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya termasuk Hamas melalui sistem kewangan Malaysia dengan Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti tersebut.
AS menetapkan Hamas sebagai organisasi pengganas asing pada tahun 1997.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia hanya mempunyai hubungan dengan sayap politik Hamas, sambil menambah bahawa negara itu tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Anwar juga berkata dasar luar negara konsisten selama ini, memetik pendiriannya menentang apartheid dan penghapusan etnik.
Hamas yang menguasai Gaza selama hampir dua dekad menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menculik 252 yang lain di mana 133 daripadanya dipercayai kekal dalam tahanan di Gaza.
Lebih 34,600 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik yang berlaku, menurut pegawai kesihatan Gaza. -REUTERS










