GAZA: Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghubungkan perang di Gaza dengan strategi politik untuk masa depan wilayah itu.
Sullivan bertemu Netanyahu di Israel selepas mengadakan rundingan di Arab Saudi, Sabtu lalu.
Campur tangan beliau berlaku sehari selepas Menteri Kabinet Perang, Benny Gantz mengancam untuk berhenti jika Netanyahu tidak membuat rancangan pasca perang untuk Gaza.
TUMPU KEMENANGAN TOTAL
Netanyahu setakat ini tidak menyatakan visi untuk apa yang berlaku selepas perang, hanya mengatakan bahawa beliau memberi tumpuan kepada kemenangan total.
Bagaimanapun, terdapat perpecahan politik yang semakin meningkat di Israel berhubung isu itu dengan Gantz dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Mereka berdua berhujah bahawa Israel tidak seharusnya mengekalkan pemerintahan tentera di Gaza manakala yang lain termasuk ahli sayap kanan pakatan Netanyahu berkata kawalan berterusan termasuk perang adalah perlu untuk mengalahkan Hamas.
HUBUNG OPERASI TENTERA DENGAN STRATEGI POLITIK
Kenyataan yang dikeluarkan White House, Sullivan menegaskan semula keperluan untuk Israel menghubungkan operasi ketenteraannya kepada strategi politik yang boleh memastikan kekalahan berkekalan Hamas, pembebasan semua tebusan dan masa depan yang lebih baik untuk Gaza.
Sullivan juga bercakap dengan Netanyahu mengenai perbincangannya di Arab Saudi dan potensi yang kini mungkin tersedia untuk Israel serta rakyat Palestin.
NORMALISASI ARAB SAUDI-ISRAEL
Pentadbiran Biden mengusahakan kemungkinan perjanjian yang termasuk normalisasi Arab Saudi-Israel dan komitmen untuk mengejar penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin – formula antarabangsa untuk keamanan yang lama dipegang.
Sementara itu, pertempuran terus berleluasa di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 800,000 rakyat Palestin kebanyakannya dipindahkan beberapa kali dalam tempoh tujuh bulan perang meninggalkan bandar Rafah di selatan Gaza di mana Israel melancarkan operasi ketenteraan yang menyasarkan apa yang dikatakan sebagai kubu terakhir Hamas di Gaza.
SASAR HAMAS DI UTARA GAZA
Bagaimanapun, tentera Israel juga melancarkan pencerobohan yang menyasarkan kehadiran Hamas di bahagian utara Gaza.
Kelmarin, agensi pertahanan awam yang dikendalikan Hamas di Gaza berkata, serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza membunuh 31 orang dan mencederakan 20 lagi.
Saksi, Yasser Abu Oula memberitahu AFP bahawa keseluruhan kompleks kediaman musnah dan masih ada mayat di bawah runtuhan.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata ia sedang menyemak laporan itu.
IDF juga berkata pihaknya menyerang berpuluh-puluh sasaran di Gaza termasuk di Rafah, dan telah terlibat dalam pertempuran sengit di Jabalia di utara Gaza.
Ia berkata bahawa dua askar terbunuh dalam pertempuran di selatan pada Sabtu lalu.
AS BERI AMARAN
AS lama memberi amaran kepada Israel agar tidak melakukan pencerobohan ketenteraan berskala penuh ke Rafah tanpa rancangan untuk melindungi orang awam yang menurut AS amaran itu tidak diikuti.
White House sebelum ini berkata bahawa ia akan berhenti membekalkan beberapa senjata jika Israel melancarkan serangan darat besar ke atas bandar itu.
Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan itu ke atas Israel selatan tahun lalu, di mana kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 252 yang lain telah dijadikan tebusan. -AGENSI
Memuatkan artikel berkaitan…











