NEW YORK: Dalam perbicaraan mahkamah hari ini, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikatakan terlibat dalam penipuan pilihan raya dengan membayar wang tutup mulut kepada seorang bintang lucah, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2016.
Penolong Peguam Daerah, Matthew Colangelo berkata, kes ini adalah mengenai konspirasi dan penutupan jenayah.
“Beliau merancang satu skim jenayah untuk merosakkan Pilihan Raya Presiden 2016,” katanya.
Membentangkan kes pendakwaan untuk juri, Colangelo berkata, Trump dilaporkan memalsukan rekod perniagaan untuk ‘membeli’ bintang lucah, Stormy Daniels susulan pertemuan seksual 2006 yang boleh menjejaskan kempennya untuk menjadi presiden.
“Ia adalah penipuan pilihan raya, tulen dan mudah,” katanya.
Trump, 77, berpakaian sut biru tua dan tali leher biru dengan pin bendera Amerika dilapiknya, duduk di meja pembelaan sambil diapit peguamnya merenung lurus ke hadapan ketika pendakwa raya menyampaikan ucapan pembukaannya.
Kes itu menimbulkan risiko besar kepada calon presiden Republikan itu, tujuh bulan sebelum pertandingan semula pilihan raya pada November ini dengan Presiden Demokrat, Joe Biden.
Saksi pendakwaan yang dijangka dipanggil memberi keterangan termasuk bintang filem lucah, Daniels dan bekas pegawai Trump, Michael Cohen yang mengaturkan bayaran yang didakwa kepada pelakon filem dewasa itu.
Salah seorang peguamnya, Todd Blanche berkata dalam kenyataan pembukaannya memberitahu, Trump tidak melakukan sebarang jenayah.
“Da Manhattan tidak sepatutnya membawa kes ini.
“Saya mempunyai amaran spoiler, tidak ada salahnya cuba mempengaruhi pilihan raya. Ia dipanggil demokrasi,” kata Blanche.
David Pecker, bekas penerbit tabloid National Enquirer ialah saksi pertama yang dipanggil oleh pendakwa raya yang mendakwa digunakan untuk menyebarkan cerita negatif tentang Trump.
Trump ketika bercakap kepada pemberita sekali lagi menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan mendakwa kes itu dibawa untuk menggagalkan kempennya di White House 2024.
“Ini adalah usaha untuk menghalang saya daripada mengadakan kempen,” katanya.
Perbicaraan itu akan menahan Trump di mahkamah dalam tempoh mungkin enam hingga lapan minggu.
Dia menghadapi 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk pembayaran balik yang dibuat kepada Cohen, peguamnya, untuk bayaran AS$130,000 (RM621,165.25) wang tutup mulut kepada Daniels.
Blanche, peguam Trump, menyerang kredibiliti Cohen yang kini menjalani hukuman penjara kerana mengelak cukai dan pelanggaran wang kempen dan Daniels dalam ucapan pembukaannya.
“Dia (Cohen) seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan dan dia juga adalah seorang pembohong yang disabitkan kesalahan.
Daniels pula melihat peluangnya untuk membuat banyak wang $130,000, dan ia berjaya,” katanya.
Trump secara berasingan didakwa atas tuduhan bersubahat untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya 2020 yang dimenangi oleh Biden dan menyorok dokumen rahsia selepas meninggalkan White House.
Bagaimanapun, kes-kes tersebut berulang kali ditangguhkan.










