KLANG: Jalan bertongkat biasanya dilakukan oleh warga emas atau individu yang mengalami kesukaran mengimbangkan badan, tetapi kini ia didakwa menjadi satu trend baharu dalam kalangan generasi muda.
Menurut seorang penjual peralatan tersebut, Abdul Rahman Tan, sukar dipercayai apabila ramai golongan muda singgah di gerainya dekat Bazar Aidilfitri Jalan Taiping untuk membeli tongkat.
Katanya, tongkat tersebut dibeli sebagai salah satu fesyen atau penampilan diri terutama pada Hari Raya Aidilfitri.
“Sebenarnya bukanlah satu kejanggalan apabila mengenakan tongkat dapat menyerlahkan penampilan seseorang. Cuma agak mengejutkan ia mula diminati golongan muda yang masih sihat.
“Sejak berniaga lebih tiga minggu, beberapa orang pemuda datang membeli tongkat dengan alasan ia boleh dipakai semasa beraya. Saya ingatkan dia hendak hadiahkan kepada orang tuanya, rupanya mereka hendak pakai untuk bergambar pada hari raya nanti,”katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Jelasnya, antara tongkat yang menjadi pilihan ramai adalah tongkat kayu ramungal, kayu tas, kemuning hitam atau kuning dan tongkat penunduk gajah.
Harga tongkat yang dijual adalah berdasarkan saiz, jenis dan kesukaran mendapatkannya di hutan.
“Harga tongkat yang saya jual adalah antara RM150 hingga RM600. Bagi orang yang mahir dengan jenis kayu dia pasti tidak akan berkira untuk membayar harganya.
“Untuk tongkat kayu tas dan penunduk gajah harganya di bawah RM500 dan tongkat kayu ramungal adalah antara RM500 hingga RM600. Kesukaran mendapatkan kayu dan seni ukir tersendiri menyebabkan harganya tinggi,” jelasnya.
Katanya lagi, selain menjual tongkat dia turut menjual baju Melayu Teluk Belanga, tanjak dan aksesori lain. – UTUSAN










