Menjadi bahan bualan ramai sementelah isu rumah tangganya dengan Datuk Red seakan tidak dapat diselamatkan lagi, penyanyi, Adira Suhaimi mengakui mungkin ada kelainannya pada sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Bagi Adira, apa pun yang berlaku, hatinya cukup reda dengan takdir Allah SWT dan sebagai ibu, kehadiran empat anak-anaknya adalah pembakar semangat yang tidak pernah akan dipersiakan.
“Menguruskan anak seorang diri, mahu atau tidak, kita sebagai ibu kena bangkit dan sentiasa bersemangat demi anak-anak. Ini kerana kita tahu mereka adalah amanah besar dan kita sedang pikul tanggungjawab besar dalam menghidupkan ‘nyawa-nyawa’ yang sedang membesar ini.
“Kalau nak cerita kuat atau tidak, kekuatan itu bukan setahun dua dikumpul. Sudah lama. Mula dari berpura-pura kuat, lama-lama jadi kuat dengan sendirinya. Kita tiada pilihan.
“Saya pun tak mahu fokus benda-benda negatif. Saya selalu ingat orang sekeliling yang sayangkan kita, baik ibu bapa, keluarga,”katanya.
Mengakui bahawa keluarga begitu memahami, kata Adira, dia bertuah kerana mereka tidak pernah lokek memberikan sistem sokongan kuat kepadanya.
“Apa sahaja lorong kecemasan, keluarga sedia membantu. Namun mereka tak masuk campur sangat mengenai isu rumah tangga saya sebenarnya. Mereka beri ruang kepada saya untuk menyelesaikannya secara tenang dan matang.
“Keluarga juga tak pernah buka mulut bercerita pada orang mengenai kisah saya sebab mereka menghormati privasi saya. Saya pun tak adalah nak kongsikan semua masalah kepada keluarga sebab tak mahu membebankan fikiran mereka.
“Bahkan kalau sedih pun, sebolehnya saya tak nak tunjuk sedih atau mengeluh. Nanti terbiasa manjakan diri begitu, automatik kita pun jadi lemah,”katanya.
Dalam pada itu, dia yang bakal pulang ke Sabah bersama empat anaknya untuk berhari raya bersama keluarga, mengakui, hanya mahu segera menamatkan kemelut yang berlaku antaranya bersama suami, Datuk Red.
Kata Adira, bahagia yang dicari hanyalah bersama anak-anak selain mengakui tahun ini banyak belajar bagaimana untuk melepaskan sesuatu yang tidak mampu ditanggung lagi.
“Saya belajar untuk melepaskan, bukan kerana membenci. Tetapi ini juga demi menjaga silaturahim selain menjaga kesihatan mental dan fizikal sendiri.
“Harus diingat, saya juga manusia biasa. Ada tahap kesabaran yang sudah tidak mampu ditahan lagi. Saya terima semuanya dengan hati yang ikhlas sebab tahu kita juga tidak sempurna dan ada kelemahan sendiri.
“Apa yang penting, anak-anak. Saya mahu fokus pada diri, anak-anak dan kerjaya sahaja,”katanya.










