PONTIAN: Kerajaan negeri Johor tidak akan melaksanakan catuan air sempena Hari Raya Aidilfitri walaupun tiga empangan di negeri itu menghampiri paras kritikal berikutan cuaca panas sejak bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya mempunyai perancangan bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang Hari Raya Aidilfitri apabila ramai akan pulang ke kampung.
Katanya, penggunaan air yang tinggi pada musim perayaan tidak dapat dielakkan kerana daripada empat juta penduduk di Johor, 20 hingga 30 peratus berada di luar negeri dan akan menyambut hari raya di kampung.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, Ranhill SAJ akan menggerakkan 27 lori tangki air dan 297 tangki air statik digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti mengalami tekanan rendah.
“Setakat ini kita dalam keadaan berjaga-jaga dan pengguna juga perlu mengambil langkah sama,walaupun akan berlaku penggunaan yang tinggi pada setiap musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Jelajah Jualan Kasih Johor di Dataran Dato Jalok, Benut di sini, hari ini. – UTUSAN










