KEMAMAN: Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Bhd. memperuntukkan kira-kira RM60,000 bagi membantu 400 keluarga asnaf sempena Program Ramadan Prihatin di sini, semalam.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, sumbangan itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat kumpulan tersebut untuk menyantuni masyarakat setempat.
“Hari raya merupakan hari yang bahagia, namun buat mereka yang kurang berkemampuan, hari raya juga boleh menimbulkan kegelisahan kerana pada waktu perayaan, pelbagai urusan memerlukan wang.
“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Syawal yang bakal tiba kurang seminggu lagi,” katanya pada Program Ramadan Prihatin di sini, semalam
Program tersebut dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman.
Najman berkata, program itu diadakan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Amal Infitah Kemaman Terengganu.
“Setiap keluarga asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Air Putih yang terpilih ini menerima bantuan berupa barangan dan juga wang tunai.
“Kami sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian. Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya. – UTUSAN










