TAIPEI: Ibu kota Taiwan, Taipei dilanda beberapa siri gempa bumi semalaman hingga awal pagi ini dengan Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan berkata yang paling kuat ialah gegaran berukuran 6.3 magnitud yang berasal dari timur Hualien.
Gempa bumi kuat pertama berukuran magnitud 5.5 melanda ibu kota itu semalam sekitar pukul 5:08 petang (waktu tempatan), menurut badan cuaca berkenaan.
Gegaran itu boleh dirasai di ibu kota Taipei.
Itu diikuti dengan beberapa siri gegaran susulan dan gempa bumi dengan dua gegaran kuat melanda satu demi satu sekitar 2:30 pagi (waktu tempatan) hari ini, menurut wartawan dan saksi AFP di Taipei.
Seorang pelancong yang tinggal di daerah Da’an Taipei, Olivier Bonifacio, memberitahu AFP, dia sedang membasuh tangan dan tiba-tiba berasakan seperti vertigo.
“Saya melangkah masuk ke dalam bilik saya dan menyedari bangunan itu bergoyang dan saya mendengar bunyi meja bergerak,” katanya sambil menambah ketika itu dia menyedari ia adalah satu lagi gegaran susulan.
Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan berkata gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda pada 2:26 pagi (waktu tempatan) diikuti enam minit kemudian dengan gegaran magnitud 6.3.
Kajian Geologi Amerika Syarikat meletakkan yang pertama pada magnitud 6.1 diikuti dengan magnitud 6.0.
Berpuluh-puluh lagi gegaran kecil direkodkan oleh Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan sepanjang malam dengan gegaran baharu setiap beberapa minit, semuanya di wilayah Hualien.
Semalam, wartawan AFP dapat merasakan bangunan mereka bergoyang semasa gempa bumi yang kuat manakala seorang penduduk berkata, panel kaca bilik mandi dan tingkap bergegar.
Wilayah Hualien merupakan pusat gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda pada 3 April lalu menyebabkan tanah runtuh yang menghalang jalan raya di sekitar kawasan pergunungan manakala bangunan di bandar utamanya dilaoorkan mengalami rosak teruk.
Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dalam gempa itu dengan mayat terbaharu ditemukan di sebuah kuari pada 13 April lalu.
Pada hari ini, Jabatan Bomba Hualien berkata bahawa pasukannya dihantar untuk memeriksa sebarang bencana akibat gempa baharu itu.
Pada 2:54 pagi (waktu tempatan), mereka mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Taiwan sering mengalami gempa bumi kerana ia terletak di persimpangan dua plat tektonik.
Gempa bumi pada 3 April lalu itu berlaku diikuti ratusan gegaran susulan yang menyebabkan runtuhan batu di sekitar Hualien.
Ia adalah yang paling serius di Taiwan sejak 1999, apabila gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda pulau itu.
Angka kematian ketika itu jauh lebih tinggi dengan 2,400 orang terkorban dalam bencana alam paling maut dalam sejarah pulau itu. -AFP










