BOSTON: Polis menahan ratusan lagi penunjuk perasaan dalam kalangan mahasiswa di seluruh Amerika Syarikat (AS), ketika bantahan terhadap perang di Gaza semakin meningkat di seluruh kampus universiti.
Kira-kira 108 tangkapan dibuat di Emerson College, polis Boston memberitahu rakan kongsi BBC AS CBS News.
Terdahulu, 93 orang di University of Southern California (USC) di Los Angeles ditahan atas tuduhan menceroboh.
Penunjuk perasaan dan polis turut bertempur di Universiti Texas di Austin.
Pihak berkuasa berkata, seramai 34 orang juga ditangkap di sana.
Universiti di seluruh AS menyaksikan semakin ramai pelajar keluar dari kelas atau cuba mendirikan khemah bagi membantah kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Tangkapan sebelum ini dilakukan di Columbia, Yale, Brown dan Universiti New York.
Di Universiti Southern California, Los Angeles, tangkapan dibuat ketika pelajar berkumpul di Taman Alumni, tempat majlis tamat pengajian peringkat utama universiti itu yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pegawai polis yang berpakaian antirusuhan membersihkan khemah pro-Palestin di tengah kampus, menghalang penunjuk perasaan daripada berkumpul.
Pelajar menerima amaran selama 10 minit daripada helikopter polis supaya bersurai.
Mereka yang enggan bersurai akan ditahan atas tuduhan menceroboh.
Kelly Munz dari Jabatan Polis Los Angeles memberitahu wartawan bahawa pegawai berada di kawasan itu dan tiba untuk membantu universiti apabila penunjuk perasaan enggan beredar.
“Universiti itu adalah kampus persendirian dan kumpulan itu telah melanggar arahan, ia adalah pencerobohan pada ketika itu,” kata Munz.
Dalam saluran media sosialnya, USC berkata, protes kini berakhir tetapi kampus itu kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
USC menambah, pelajar dengan kad identiti USC akan mendapat akses melalui pintu pejalan kaki dan semua orang yang berada di kampus boleh bersurai.
Protes itu dilaporkan pada mulanya aman, tetapi kemudian bertukar tegang dengan kehadiran polis yang berterusan. -BBC










