Protes pro-Palestin di kampus universiti AS meningkat

Protes pro-Palestin di kampus universiti AS meningkat

PENYOKONG pro-Palestin membuat perkhemahan protes di kampus Universiti Columbia, di New York City, kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Protes pro-Palestin yang menggegarkan beberapa universiti di Amerika Syarikat (AS) merebak ke lebih banyak kampus.

Ia mencetuskan cadangan daripada seorang pemimpin kanan Republikan bahawa Pengawal Kebangsaan boleh campur tangan.

Komen daripada Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson, ia berkemungkinan membangkitkan semula emosi yang kuat di negara itu di mana pembunuhan pada 1970 pernah dilakukan  oleh Pengawal Kebangsaan terhadap pelajar tidak bersenjata yang memprotes perang Vietnam.

Johnson memberitahu wartawan di Columbia bahawa jika demonstrasi tidak dibendung dengan cepat, ia akan menjadi masa yang sesuai untuk Pengawal Kebangsaan campur tangan.

Beliau berhasrat untuk menuntut Presiden AS, Joe Biden mengambil tindakan dan memberi amaran terhadap demonstrasi yang meletakkan sasaran pelajar Yahudi di AS.

Terbaru, demonstrasi tunjuk perasaan tercetus di Universiti California Selatan semalam dan di Texas di mana perselisihan tegang berlaku antara mahasiswa dan polis dengan lebih daripada 20 orang ditahan.

Ia adalah konfrontasi terbaru antara penguat kuasa undang-undang dan mahasiswa yang marah dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dalam perang Israel terhadap Hamas.

Tunjuk perasaan dikatakan bermula di Universiti Columbia di New York di mana berpuluh-puluh tangkapan dibuat minggu lalu selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis untuk meredakan demonstrasi.

Demonstrasi berkenaan yang dikatakan oleh pelajar Yahudi sebagai mengancam kepada mereka dan menyifatkannya sebagai anti-Semitik.

Dalam pada itu, Jurucakap White House, Karine Jean-Pierre berkata, Biden menyokong kebebasan bersuara.

“Presiden percaya bahawa kebebasan bersuara, perdebatan dan tanpa diskriminasi di kampus kolej adalah penting,” katanya kepada pemberita.

Sekutu AS, Israel melancarkan perangnya di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang menyebabkan kira-kira 1,170 orang terbunuh, menurut pengiraan AFP mengenai angka rasmi Israel.

Penunjuk perasaan berkata, mereka menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza, di mana angka kematian melebihi 34,200, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, dan menyeru Universiti Columbia dan universiti lain untuk melepaskan diri daripada syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Penunjuk perasaan termasuk sebilangan pelajar Yahudi turut menafikan contoh anti-Semitisme.

Tetapi penyokong pro-Israel dan yang lain bimbang tentang keselamatan kampus dan berhujah bahawa kampus menggalakkan ugutan dan ucapan kebencian.

Lawatan Johnson ke Universiti Columbia ketika Texas mengerahkan polis meredakan rusuhan di Universiti Texas di Austin di mana beratus-ratus penunjuk perasaan melancarkan gerakan dan kekecohan.

Polis berkata mereka menahan lebih 20 orang dengan gabenor negeri, Greg Abbott menggesa hukuman perlu dibuat segera.

“Penunjuk perasaan ini perlu berada dalam penjara.

“Pelajar yang menyertai protes antisemitik yang penuh kebencian di mana-mana kolej atau universiti awam di Texas harus dibuang,” tulis Abbot dalam media sosial.

Polis berada di tempat kejadian di Los Angeles selepas ratusan pelajar melakukan demonstrasi di kampus Universiti California Selatan.

Pelajar melaungkan “Bebaskan Palestin” serta slogan kontroversi “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas,” yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menyeru kemusnahan negara Israel.

“Kami semua hanya cuba menyokong saudara dan saudari kami di Palestin yang tidak mempunyai suara sekarang,” kata pelajar biologi, Yaseen El-Magharbel kepada AFP.

Universiti itu berkata, pihaknya menutup kampus kepada pelawat luar, walaupun kelas dan aktiviti lain akan diteruskan.

Pelajar juga melancarkan protes di sekolah termasuk Yale, Massachusetts Institute of Technoogy (MIT), Universiti California (UC) Berkeley, Universiti Michigan dan Brown.

Imej media sosial juga menunjukkan perkhemahan dibina di Universiti Harvard.

Kelas dipindahkan dalam talian dan aktiviti lain di kampus dibatalkan di California State Polytechnic University, Humboldt, selepas penunjuk perasaan menghalang diri mereka di bangunan kampus.

Lebih 130 orang ditangkap dalam protes pro-Palestin di Universiti New York pada malam Isnin lalu dan polis di Universiti Minnesota dilaporkan menahan sembilan orang di sebuah perkhemahan.

NBC melaporkan bahawa FBI sedang menyelaraskan dengan universiti berhubung ancaman anti-Semitik dan kemungkinan keganasan berkaitan dengan gelombang protes yang berterusan.

Sebelum lawatan Johnson ke Columbia, gencatan senjata berlaku antara mahasiswa dan pegawai penguat kuasa.

Universiti itu menetapkan tarikh akhir tengah malam Selasa untuk bersurai, tetapi apabila lebih ramai orang menyertai protes itu, pihak sekolah memberi tempoh lanjutan 48 jam, kata pelajar dalam media sosial.

Mahasiswa bersetuju dengan rundingan yang berterusan selepas pihak kampus berjanji tidak akan menghubungi polis atau Pengawal Kebangsaan, kata penganjur dengan Columbia University Apartheid Divest.

“Kami bimbang Universiti Columbia mempertaruhkan pembunuhan beramai-ramai kedua di Jackson State atau Kent State,” kata kumpulan itu dalam catatan media sosial.

Pada tahun 1970, demonstrasi di Universiti Negeri Kent di Ohio disambut dengan kekerasan sehingga menyebabkan kematian.

Pada waktu itu, Pengawal Kebangsaan melepaskan tembakan ke arah orang ramai, membunuh empat pelajar tidak bersenjata dan mencederakan sembilan. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN