Pengendali TBS tambah baik sistem jualan tiket, atasi kesesakan

Pengendali TBS tambah baik sistem jualan tiket, atasi kesesakan

ANTHONY Loke Siew Fook menyampaikan sumbangan kepada penumpang bas dalam lawatan kerja beliau ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali Terminal Bas Bersepadu (TBS) pada tahun ini telah membuat penambahbaikan terhadap sistem pembelian tiket dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia mengambil kira isu yang berbangkit pada tahun lalu di mana kesesakan berlaku hanya untuk mendapat pas pelepasan secara fizikal sebelum menaiki bas. 

Susulan daripada itu, langkah integrasi dibuat pada kali ini bagi mengurangkan kesesakan, sekali gus memudahkan orang ramai untuk pulang beraya di kampung halaman. 

“Pada tahun lalu, orang ramai terpaksa beratur panjang hanya untuk menukar pas pelepasan, itu diambil perhatian serius oleh Kementerian Pengangkutan dan memohon kerjasama daripada pihak pengendali terminal dan mengintegrasikan sistem dalam talian.

“Jadi pada tahun ini, penumpang hanya perlu mencetak dan boleh terus ke Balai Pelepasan selepas mengimbas Kod QR di Auto Counter Gate (AGC) bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan pintu masuk utama Balai Pelepasan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau persiapan sempena Aidilfitri 2024 di TBS, hari ini. 

Sehingga kini, beberapa Penyedia Sistem Tiket Online (OTA) utama iaitu GoHub, BusOnlineTicket dan RedBus telah berjaya menambah baik empat pelaksanaan integrasi sistem dengan TBS untuk penggunaan kod QR.

Pada tahun lalu, kira-kira 65 peratus pembelian tiket bas ekspres adalah melalui dalam talian berbanding 35 peratus tiket yang dibeli di terminal. 

Namun, setakat hari ini, Anthony turut memaklumkan sebanyak 70 peratus daripada 220,00 tiket yang telah dibeli menerusi dalam talian, sementara 30 peratus lagi dibeli di kaunter.  

“Jumlah tiket yang kita buka secara keseluruhan adalah 330,00 tiket. Untuk setakat ini, sebanyak 220,000 tiket telah habis dijual untuk Utara, Selatan dan Pantai Timur. Ini bermakna, ada 100,000 tiket lagi yang masih berbaki boleh dibeli.

“Tetapi, untuk tiket ke Pantai Timur telah habis terjual,” ujarnya.  

Dalam perkembangan sama, setakat 29 Mac lalu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah meluluskan sebanyak 218 bas tambahan melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk pulang beraya.

Jelas Anthony, jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4 petang ini. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN