Nor Yarasha bersuara melalui lukisan

Nor Yarasha bersuara melalui lukisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG lebih 40 tahun jari-jemarinya ligat menari di atas kertas, tidak pernah sekali pun wanita
orang kurang upaya (OKU) pendengaran ini melukis wajah insan-insan di sekelilingnya.

Nor Yarasha Abu Samah, 53, menolak untuk mengabadikan sebarang potret keluarga dan rakan-rakan mahupun individu ternama.

Sebaliknya, lebih gemar mengabadikan wajah wanita dan lelaki hasil imaginasinya sendiri.

Sehingga kini lebih 70 lukisan termasuk potret, pemandangan dan objek berjaya disiapkan ibu kepada dua anak lelaki berusia 24 serta 26 tahun ini.

Menariknya, sebahagian karya itu turut menghiasi dinding di bahagian dalam dan luar kediamannya di Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh.

“Sejak dahulu lagi saya tidak suka melukis muka individu yang dikenali walaupun ahli keluarga sendiri, cukuplah gambar-gambar yang ada dalam album dan bingkai sebagai kenangan bersama.

“Bagi yang tertanya-tanya watak-watak dalam koleksi lukisan saya, kesemuanya tidak wujud dan diinspirasikan daripada imaginasi.

“Imaginasi itu boleh tercetus secara spontan terutama ketika melihat gambar-gambar dalam National Geographic yang kemudian diolah 100 peratus daripada segi latar belakang, subjek dan tema,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Temu bual kami diterjemahkan oleh anak sulungnya, Muhammad Elyas Mohd. Elham yang boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Apabila makin berusia, gaya lukisannya turut melalui fasa transformasi dengan kini hanya memaparkan bentuk muka sahaja tanpa mata, kening, hidung dan mulut.

“Ketika muda dulu, idea mencurah-curah dan saya sering melukis potret wanita dengan pelbagai penceritaan termasuk yang menyeramkan.

“Tetapi apabila semakin tua, minat itu sudah bertukar dan kini kebanyakan potret dihasilkan tanpa muka,” katanya.

Meneliti karya-karyanya, seolah-olah lukisan itu bersuara walaupun hakikatnya, dunia Nor Yarasha ‘sunyi’ sejak lahir kerana kecacatan dialami.


MINAT SEJAK KECIL
Menceritakan mengenai bakat seninya, surirumah berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan ini berkata, melukis sudah sebati dengan dirinya sejak usia kanakkanak lagi.

Ketika itu, dia gemar melukis abjad ABC dalam pelbagai bentuk unik dan menarik.

Semangatnya makin berkobar-kobar apabila memenangi tempat keempat dalam pertandingan melukis di tadika.

“Bermula daripada itu, saya mula melukis objek-objek di sekeliling termasuk pemandangan dan haiwan.

“Selepas habis sekolah menengah, keluarga minta saya menyambung pengajian dalam Diploma Rekaan Grafik di kolej di ibu kota,” katanya yang pernah bergelar pelukis latar sebelum berhenti setelah melahirkan
anak.

Kesibukan menguruskan keluarga di samping membantu suami, Mohd. Elham Samsuri, 53, berniaga turut menyebabkan hobi melukisnya terhenti.

Namun, pada 2019, dia kembali melukis di masa lapang setelah sekian lama aktiviti itu ditinggalkan.

“Hobi ini sudah jadi sebahagian daripada jiwa dan saya puas apabila dapat bermain dengan pensil warna dan krayon.

“Melukis ini membuatkan kita candu kerana apabila karya siap, jiwa jadi kosong semula sekali gus
menarik untuk terus melukis lagi dan lagi,” katanya.

Krayon, pensil warna jadi teman
KEBANYAKAN pelukis cenderung menggunakan cat air tetapi berbeza buat Nor Yarasha yang kekal menjadikan krayon dan pensil warna sebagai medium utama lukisannya.

Tambahan sedikit air pada medium berkenaan dilakukan untuk mencipta kelainan dan tarikan.

Sesekali, wanita ini keluar daripada kepompong ketulaan dan bereksperimentasi dengan pelbagai teknik warna termasuk menggunakan penyembur cat.

Bukan sahaja medium warna, malah kertas digunakan juga berbezabeza termasuk kanvas, kertas lukisan dan minyak.

Selain untuk koleksi peribadi, beberapa karyanya turut dijual kepada rakan-rakan dan syarikat
konglomerat.

Antaranya, lukisan rumah kampung tradisional yang dibeli oleh pihak SIRIM Berhad.


SENTIASA BERLATIH

“Melukis tidak memerlukan kemahiran khusus, sebaliknya menuntut latihan berterusan untuk memperbaiki diri.

“Mana-mana individu yang mahu menceburi bidang itu perlu sentiasa rajin berlatih bagi melembutkan tangan,” katanya.

Lebih daripada itu, seni adalah subjektif.

“Mungkin saya bukan orang yang sesuai untuk memberi nasihat kepada orang lain kerana ilmu yang tidak seberapa.

“Cuma apa yang boleh dikongsikan ialah banyakkan sesi latihan. Lama-kelamaan ia akan sebati dengan diri,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×