SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura ditahan di Sepanyol selepas mayat wanita yang juga warganegara sama, Audrey Fang Dirou, 39, terdahulu dilaporkan hilang, ditemukan dengan kesan tikaman .
Menurut media Sepanyol, Olive Press, wanita itu ditikam lebih daripada 30 kali.
Menurut Olive Press lagi, mayat wanita itu ditemukan pada 10 April lalu di sebuah taman di Abanilla di wilayah Murcia, kira-kira 150 kilometer dari hotelnya di mana dia dikatakan kali terakhir dilihat hidup.
Wanita itu ditemukan oleh seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersarapan di sebuah restoran yang terletak di sepanjang lebuh raya.
Abanilla terletak di tenggara Sepanyol dan kira-kira empat jam pemanduan dari ibu kota Madrid.
Seorang suspek ditahan pada 16 April lalu oleh pengawal awam di wilayah Alicante dan mereka kemudiannya memindahkan suspek kepada rakan sekerja mereka di Murcia.
Media Sepanyol melaporkan bahawa suspek tinggal di sebuah hotel di Alicante, di mana dia ditahan.
Audrey dilaporkan mengembara sendirian ke Xabia, Sepanyol dan tidak dapat dihubungi sejak 10 April lepas.
Dia meninggalkan Singapura pada 4 April lalu dan dijangka pulang pada 12 April.
Rakan keluarga mangsa, Lee Si Hui, 30, mengesahkan mayat Audrey ditemukan ketika dihubungi The Straits Times hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, keluarga itu tidak dapat berkongsi banyak maklumat kerana mereka sedang membantu siasatan polis.
Mereka tidak mahu menghalang pengumpulan bukti, katanya.
Dia pergi ke Sepanyol bersama abang dan sepupu Audrey untuk mengecam mayat.
Si Hui berkata bahawa Audrey kali terakhir dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu pada 9 April lalu pada 8.45 malam waktu Sepanyol.
Keluarga itu bagaimanapun membuat laporan pada 11 April lalu kepada Kementerian Luar Negeri (MFA) Singapura.
Abang kepada Audrey yang berada di Lapangan Terbang Changi mendapati Audrey tidak menaiki penerbangan pulangnya pada 12 April.
Dia membuat laporan polis pada hari yang sama.
Ketika dihubungi The Straits Times, polis mengesahkan laporan dibuat berhubung kehilangan Audrey.
Keluarga itu mendapati dia meninggalkan bilik hotelnya pada 9 April lalu tetapi tidak pulang.
Barang-barangnya masih ada di dalam bilik.
Audrey diilaporkan memberitahu keluarganya bahawa dia mungkin bertemu rakan di Sepanyol, tetapi mereka tidak mngenali identiti orang itu.
Audrey yang masih bujang, tinggal bersama bapa dan adik lelakinya.
Arkitek itu sepatutnya memulakan pekerjaan baharu pada Mei ini selepas lawatan ke Jepun bersama ibu saudara dan sepupunya pada penghujung April ini.
Ini bukan kali pertama Audrey melancong ke luar negara seorang diri.
Sebagai tindak balas kepada pertanyaan The Straits Times, jurucakap MFA Singapura berkata, pada hari ini, Konsulat Jeneral Kehormat Singapura (HCG) di Madrid menghubungi pihak berkuasa tempatan berhubung kes Audrey.
MFA singapura tidak berada dalam kedudukan yang tepat untuk mengulas mengenai kes itu kerana siasatan sedang dijalankan.
MFA dan HCG memberikan bantuan dan sokongan konsular kepada keluarga Audrey.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tersebut,” ujar kementerian itu.










