Walaupun tidak memiliki pinggang ramping bagai kerengga atau selampai peragawati, ia bukan penghalang untuk tampil bergaya dengan baju kurung moden di Aidilfitri.
Apa yang penting, anda mesti bijak memilih potongan baju yang mampu menyembunyikan bahagian tubuh yang menonjol seperti bahagian perut dan pinggul besar.
Hakikatnya memilih baju longgar paling selamat berbanding busana yang ketat dan mengikut bentuk badan kerana ia akan memalukan diri sendiri apabila lemak di bahagian tidak diingini timbul di sana-sini.
Pilih pakaian yang mampu memberikan keselesaan pada diri dan mengubah persepsi orang lain terhadap bentuk tubuh anda.
Potongan baju, jenis fabrik atau kain, corak serta warna memainkan peranan penting dalam memastikan tubuh tampak lebih langsing.

Selalunya, warna hitam menjadi pilihan kerana ia membuatkan si pemakai kelihatan lebih kecil.
Bagaimanapun, pasti anda ingin menggayakan warna lebih ceria di hari yang cukup menggembirakan itu.
Jangan takut menggayakan baju berwarna tetapi pastikan ronanya agak gelap. Baju dengan satu warna gelap seperti hijau, ungu dan merah gelap tanpa motif membuatkan anda tampak langsing.
Tidak semestinya perlu memakai satu warna saja sebaliknya anda boleh gandingkan baju berwarna terang dengan kain lebih gelap atau sebaliknya.
Elakkan motif mendatar berbanding menegak tidak kira saiznya kecil atau besar. Sebaiknya, pilih baju polos berwarna gelap dengan kain bermotif bunga kecil.
Jenis fabrik, lipatan serlah gaya
Jenis fabrik yang dipilih memainkan peranan penting dalam membentuk tubuh yang anda inginkan.
Fabrik yang mengikut bentuk badan seperti lycra dan spandeks menampakkan bonjolan yang tidak diingini, sebaiknya pilih fabrik lembut seperti kapas dan georgette yang mampu memberikan struktur pada badan.
Sutera, renda, satin, organza bersulam dan fabrik bertekstur adalah pilihan terbaik untuk yang bertubuh gempal.
Jenis lipatan juga boleh mempengaruhi penampilan. Sebagai contoh, koleksi Raea Raya 2024 yang didatangkan dengan lipatan, pleat, cowl, atau ruching, bagi memberi sentuhan anggun dan lembut.
Lipatan ala pareo pada bahagian depan kain menarik perhatian daripada bahagian perut atau pinggang. Pastikan lipatan ini tidak terlalu banyak dan sesuai dengan warna gelap untuk bentuk badan kelihatan lebih kecil.

Tambah anggun dengan hijab
Berhijab bukan halangan untuk tampil bergaya, malah pilihan hijab yang menarik boleh menyerlahkan keanggunan.
Kenal pasti tona kulit sebelum memilih warna tudung yang diingini. Tona kulit terbahagi kepada tiga iaitu hangat (kekuningan), dingin(putih merah jambu) dan neutral.
Bagi pemilik kulit hangat, elakkan memakai warna kuning mustard, keemasan dan jingga, sebaliknya pilih biru lembut, hijau muda, coklat, krim dan putih gading.
Mereka yang berkulit dingin, sangat cantik apabila memakai tudung biru dan hijau. Rona merah ceri dan merah jambu menaikkan seri wajah.
Jauhi warna oren dan kuning yang akan membuatkan wajah kusam.
Memiliki tona neutral menyukarkan untuk mencari rona sepadan tetapi anda boleh mencuba warna seperti pic, merah jambu, ungu lavender, kuning pastel dan sebagainya.
Gayakan tudung The Nisa Duck yang boleh didapati dalam pelbagai warna mengikut tona kulit anda.
Ia juga diperbuat daripada 100 peratus sutera tulen dengan perincian manik-manik rumit, sesuai dipadankan bersama baju raya Luxe yang menampilkan mutiara-mutiara halus.
Gayakan barang kemas sesuai dengan diri
Tampil sempurna dan anggun dengan barang kemas yang menawan ketika menyambut tetamu atau berkunjung ke rumah terbuka.
Subang, cincin, gelang, rantai, kerongsang dan pin tudung mampu menyerlahkan keceriaan menyambut Aidifitri.
Barang kemas boleh menyerlahkan bentuk badan anda. Sebagai contoh, jika bahu dan pinggul anda lebih lebar daripada pinggang, gayakan barang kemas berbentuk bulat .
Sempena lebaran, Pandora Malaysia memperkenalkan koleksi menarik, berinspirasikan kasih sayang dan kesetiaan.
Subang, rantai panjang serta gelang boleh membuatkan pemakai lebih ramping. Tambahkan Cherry Blossom Dangle Charm pada rantai untuk kesan diingini.
Gelang mutiara air tawar dalam koleksi ini juga dapat memberikan kesan tangan lebih panjang buat si pemakai.
Bagi yang berisi dan bulat, subang melekap berbentuk bulat akan menyebabkan wajah dan leher tampak bulat serta pendek.
Ketinggian anda juga memainkan peranan dalam memilih barangan kemas yang ingin digayakan.
Mereka yang bertubuh rendah iaitu di bawah 1.65 meter sebaiknya menggayakan rantai pendek yang memberikan gambaran leher lebih panjang.

Beg tangan pelengkap gaya
Tidak lengkap gaya jika tidak menjinjing beg tangan yang cantik ketika berkunjung ke rumah terbuka.
Apabila memilih beg, anda perlu merujuk bentuk yang bertentangan dengan saiz badan anda.
Sebagai contoh, jika badan berisi (bulat) dan rendah, pilihlah beg yang lebih panjang berbanding berbentuk segi empat.
Sebaliknya, jika bertubuh tinggi dan besar, pilih beg lebih besar kerana saiz beg yang kecil akan menyerlahkan saiz tubuh.
Bagaimanapun bila berbaju kurung atau gaun, tidak sesuai untuk membawa beg yang besar. Beg kecil boleh menampilkan gaya anggun dan sesuai untuk acara sebelah petang atau malam.
Carlo Rino menawarkan beg tangan bermotif bunga-bungaan yang menceriakan penampilan anda dalam pelbagai saiz dan bentuk.
Beg tangan tote dan bowler sesuai untuk gaya ceria. Warna lembut seperti merah jambu, kuning dan biru membawakan kegembiraan menyambut
Aidilfitri.










