Dua pangkalan tentera Israel rosak akibat serangan Iran

Dua pangkalan tentera Israel rosak akibat serangan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, sekurang-kurangnya sembilan peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan Ahad lalu mengenai dua pangkalan udara tentera Israel.

Israel, AS dan sekutu mereka mendakwa menembak jatuh 99 peratus daripada lebih 100 dron dan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik Iran dalam tindak balas yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurut pegawai AS kepada ABC News, sekurang-kurangnya lima peluru berpandu balistik yang tidak dipintas mengenai pangkalan udara Nevatim di padang pasir Negev di selatan Israel, merosakkan pesawat kargo C-130, kawasan landasan yang tidak digunakan dan sebuah kemudahan penyimpanan.

“Empat lagi peluru berpandu  kelihatan mengenai pangkalan udara lain di Negev, menyebabkan kerosakan yang ketara,” katanya.

Israel memuji sistem pertahanan peluru berpandu Arrow yang canggih kerana berjaya memintas serangan pertama menyasarkannya selepas bedilan oleh bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pada 1991. 

Bagaimanapun, kerosakan kecil di Nevatim menunjukkan pertahanan udara Israel tidak benar-benar 100 peratus kalis serangan udara.

Rakaman tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada malam Ahad menunjukkan kawah besar di dalam tanah di pangkalan tersebut.

Beberapa pekerja dilihat meletakkan lapisan asfalt baharu di tempat yang kelihatan seperti landasan selepas sebuah jet pejuang mendarat berhampiran.

Dalam pada itu serangan Iran ke atas Israel mendapat sorakan daripada ramai penduduk Palestin di Gaza walaupun ada yang menyifatkannya sekadar amaran untuk memelihara maruah mereka berbanding mencetuskan kerosakan sebenar.

“Buat pertama kali, kami melihat beberapa roket yang tidak mendarat di kawasan kami. Roket ini menuju ke tanah Palestin yang diduduki,” kata rakyat Palestin, Abu Abdallah.

Rakaman yang diedarkan dari kawasan itu menunjukkan ramai penduduk, termasuk yang berada di dalam khemah berteriak dan melaungkan takbir ketika langit Gaza diterangi roket Iran dan pintasan peluru berpandu Israel.

“Sesiapa yang memutuskan untuk menyerang Israel, berani menyerang Israel pada masa seluruh dunia bertindak menyokong mereka adalah hero di mata rakyat Palestin, tidak kira sama ada kita berkongsi ideologi mereka atau tidak.

“Kami ‘disembelih’ selama lebih enam bulan dan tiada siapa yang berani berbuat apa-apa. Kini Iran selepas konsulatnya dibedil, menyerang balik Israel dan ini membawa sedikit sinar ke dalam hati kami,” kata seorang bapa, Majed Abu Hamza, 52.

Iran melancarkan serangan ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap bedilan di perkarangan kedutaannya di Syria pada 1 April lalu yang membunuh dua komander tertinggi Pengawal Revolusi Iran (IRG).

Kumpulan Jihad Islam dan Hamas menerima sokongan kewangan dan ketenteraan dari Iran, mempertahankan serangan dilakukan Tehran dan mengutuk negara-negara yang dikatakan bertindak sebagai ‘perisai pelindung’ untuk Israel.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya