Dua gunung berapi berjiran Gunung Ruang dipantau

Dua gunung berapi berjiran Gunung Ruang dipantau

GAMBAR edaran Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia yang diterima semalam menunjukkan orang ramai di Sitaro, Sulawesi Utara melihat gunung berapi Gunung Ruang mengeluarkan asap. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA:  Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia memantau secara intensif aktiviti Gunung Awu dan Gunung Karangetang di Sulawesi Utara yang terletak berdekatan dengan Gunung Ruang.

Lapor Antara, Ketua pasukan kerja gunung berapi agensi itu, Heruningtyas berkata, pihaknya sedang memantau secara intensif Gunung Awu serta gunung lain berhampiran Gunung Ruang.

Pada sidang media yang diadakan bagi membincangkan peningkatan Status Gunung Ruang daripada tahap II kepada tahap III, Heruningtyas berkata, pihaknya memantau aktiviti Gunung Awu selepas Gunung Ruang mengeluarkan abu gunung berapi sehingga tiga ribu meter, kelmarin.

Beliau menyatakan bahawa agensi itu juga mengesan peningkatan aktiviti seismik di Gunung Awu sebelum letusan Gunung Ruang.

Pada Selasa lalu, agensi itu menaikkan status Gunung Awu dan Gunung Ruang daripada Tahap II (Awas) kepada III (Siaga).

“Kami tidak sangka Gunung Ruang akan meletus dahulu. Aktiviti seismiknya meningkat dengan cepat,” katanya.

Heruningtyas menyatakan pihaknya perlu mengkaji perkaitan antara kedua-dua gunung itu terlebih dahulu.

“Untuk menjawab persoalan sama ada kedua-dua gunung itu saling berkaitan, satu kajian khas perlu dijalankan terlebih dahulu,” tegasnya.

Beliau berkata, selain Gunung Awu, terdapat juga Gunung Karangetang di Siau yang bersebelahan dengan Gunung Ruang.

“Gunung Karangetang kini berada di Tahap II atau Awas,” katanya.

Agensi itu turut merekodkan gempa bumi perlahan di Gunung Karangetang. 

Bagaimanapun, Heruningtyas berkata, gempa bumi itu berpunca daripada aktiviti letupan Gunung Ruang.

“Pada masa ini, aktiviti seismik di Gunung Karangetang dan Gunung Awu kembali normal,” katanya.

Pada Rabu lalu, Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) Indonesia melaporkan bahawa Gunung Ruang di Daerah Sitaro, Sulawesi Utara, meletus abu gunung berapi setinggi tiga ribu meter. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN