LOS ANGELES: Mahkamah Santa Fe, New Mexico menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap pengendali senjata api di set penggambaran filem Rust, Hannah Gutierrez-Reed.
Hakim Mary Marlowe Somme menjatuhkan hukuman bunuh tanpa niat terhadap Gutierrez, 27, pada Isnin, selepas tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian ahli sinematografi, Halyna Hutchins pada 2021.
Mengikut pertuduhan, wanita itu tersilap memasukkan peluru hidup ke dalam revolver yang digunakan oleh pelakon lelaki, Alec Baldwin ketika sesi latihan menembak di set penggambaran tersebut tiga tahun lalu.
Tembakan itu dilepaskan ketika babak Baldwin berlawan di gereja yang meragut nyawa Hutchins dan menyebabkan pengarah, Joel Souza mengalami kecederaan.
“Anda telah menjadikan ia sebagai senjata maut sedangkan kamu adalah ‘perisai’ yang akan memastikan senjata selamat atau senjata yang boleh membunuh seseorang.
“Disebabkan kelalaian kamu, Hutchins mungkin boleh hidup. Seorang suami yang boleh mempunyai pasangan di sisinya,” kata Somme ketika membacakan keputusan tersebut.
Semasa sesi perbicaraan yang berlangsung selama 10 hari, mahkamah turut mendengar kegagalan tertuduh mematuhi peraturan keselamatan asas selaku individu bertanggungjawab menguruskan senjata api di set penggambaran.
Tertuduh juga bertanggungjawab terhadap enam peluru dan mengisi satu daripadanya ke dalam revolver yang digunakan oleh Baldwin.
Insiden tembakan itu turut menggemparkan Hollywood dan merupakan tragedi pertama pada era moden yang melibatkan kru filem terbunuh berpunca akibat kecuaian.
Difahamkan, perbicaraan terhadap Baldwin, 66, dijadualkan pada 10 Julai depan selepas pelakon itu didakwa melakukan pembunuhan tanpa niat. -AGENSI










