498 rumah dan tiga kemudahan infrastruktur rosak akibat letusan

498 rumah dan tiga kemudahan infrastruktur rosak akibat letusan Gunung Ruang

GUNUNG Ruang di Kepulauan Sitaro, Sulawesi Utara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) merekodkan sekurang-kurangnya 498 rumah dan tiga kemudahan awam rosak akibat letusan Gunung Ruang di Daerah Kepulauan Sitaro, Sulawesi Utara.

Lapor Antara, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari berkata, selain 135 rumah rosak sederhana dan 363 rumah rosak sederhana hingga teruk, dua gereja dan sebuah bangunan sekolah rendah di Tagulandang, Kepulauan Sitaro terjejas akibat kejadian itu. 

“Jumlah ini diperoleh berdasarkan hasil rekapitulasi yang dijalankan oleh pasukan pengurusan kecemasan bencana pada 20 April lalu,” jelas Abdul.

Data rekapitulasi pasukan BNPB turut melaporkan 11,624 penduduk Kepulauan Sitaro terjejas akibat letusan yang berlaku pada 18 April lalu.

Penduduknya tersebar di 12 kampung di Mukim Tagulandang iaitu Pumpente, Laingpatehi, Mahangiang, Tulusan Barangka Pehe, Apengsala, Lesah Rende, Pahiama, Boto, Leseh, Bahoi, dan Balehumara.

BNPB mengesahkan majoriti penduduk yang terjejas dipindahkan ke pos kecemasan, tempat ibadat dan rumah saudara mereka.

Seramai 31 penduduk Leseh yang merupakan pesakit di Hospital Besar Wilayah (RSUD) Tagulandang di Batuline, Kepulauan Sitaro dipindahkan ke Gereja Bethel Paninteang.

BNPB juga mula menghantar bantuan terdiri daripada lima khemah pelarian, 100 khemah keluarga, empat menara lampu, empat penjana diesel, 300 bungkusan keperluan asas, 300 bungkusan makanan sedia untuk dimakan, 300 bungkusan peralatan antibakteria, 300 tilam, 300 selimut, 150 katil bergulung, 300 kotak topeng, 50 velbed, 10 bungkusan tandas mudah alih dan 300 bungkusan kit kelangsungan hidup pelarian.

Bantuan tersebut bagi memenuhi keperluan asas penduduk yang terjejas akibat letusan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN