BANDAR GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza menemukan sekurang-kurangnya 283 mayat orang dari kubur besar di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.
Menurut agensi itu dalam satu kenyataan, kru pertahanan awam mengambil 73 lagi mayat dari kubur besar-besaran itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 283 mayat sejak Sabtu lalu.
Jelas kenyataan itu lagi, kru pertahanan awam masih mencari lebih banyak mayat di dalam kubur yang ditemukan berkenaan.
Sebuah kubur besar ditemukan di halaman hospital pada hari Sabtu lalu selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April lalu berikutan serangan darat selama empat bulan.
Menurut Ismail al-Thawabteh dari pejabat media kerajaan Gaza, kira-kira 700 orang tidak dapat dikesan sejak pengunduran tentera Israel dari bandar berkenaan.
“Kami percaya terdapat ratusan mayat yang masih hilang selepas dibunuh oleh pendudukan Israel dan dikebumikan dalam kubur besar,” katanya kepada Anadolu.
Israel melancarkan serangan kejam di Gaza sejak serangan Hamas rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.
Sekurang-kurangnya 34,151 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan 77,00 yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan keperluan yang teruk.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perang Israel mendorong 85 peratus penduduk Gaza melakukan perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk manakala 60 peratus daripada infrastruktur kawasan terkepung itu rosak atau musnah.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Keputusan sementara pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.










