Zakat fitrah di Pulau Pinang antara RM7 hingga RM21

Zakat fitrah di Pulau Pinang antara RM7 hingga RM21

KADAR zakat fitrah bagi negeri Pulau Pinang pada tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah untuk umat Islam di negeri ini pada tahun ini iaitu sebanyak RM7, RM14 dan RM21.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di Pulau Pinang.

Menurut Mohamad, jumlah berbeza yang ditetapkan itu juga memberi peluang kepada umat Islam untuk menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan masing-masing.

“Kadar RM7 khusus buat (pengguna) beras super spesial tempatan lima peratus, beras hancur atau lain-lain yang setara dengannya.

“Kadar bayaran sebanyak RM14 meliputi beras rebus, beras siam, beras putih import, beras perang atau yang setara dengannya manakala kadar RM21 pula membabitkan beras wangi, beras pulut, beras basmati, beras herba ponni, beras calrose atau setara dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan di Dewan An-Ansor, Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali serta Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Roslan Ahmad.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, seramai 1,699 amil yang meliputi 237 kariah telah ditauliahkan untuk memungut kutipan zakat fitrah pada tahun ini.

“Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan supaya membayar zakat fitrah kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Selain amil, pembayaran juga boleh dibuat melalui kaedah dalam talian melalui portal zakatpenang2u.com dan JomPay,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM7 juta berbanding kutipan tahun lepas iaitu RM6.84 juta.

Katanya kutipan zakat fitrah pada 2023 itu meningkat 4.01 peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM6.58 juta dan faktor peningkatan itu ialah kesungguhan para amil fitrah yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab yang bersungguh-sungguh sehingga mencatatkan peningkatan besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN