Taktikal Pan Gon makan diri

Taktikal Pan Gon makan diri

Penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini menangkap kemas bola walaupun dicabar Endrick pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serba tidak menjadi, itu boleh dikatakan mengenai aksi Harimau Malaya menentang Oman yang menyaksikan anak-anak buah Kim Pan Gon kecundang 0-2 kali kedua berturut-turut kepada lawan di ranking ke-80 dunia itu.

Taktikal yang dirancang Pan Gon dengan menggunakan pendekatan bola lambung di bahagian hadapan nampak mudah dipatahkan oleh Oman dengan rata-rata hantaran didakap kemas penjaga gol lawan, Ibrahim Al Mukhaini.

Barisan pertahanan Harimau Malaya juga nampak bergelut namun harus berterima kasih kepada Ahmad Syihan Hazmi yang beraksi tangkas untuk mengelak gawang dibolosi lebih banyak gol.

Biarpun, rata-rata peminat jelas kecewa dengan prestasi yang dipamerkan sebahagian besar pemain Harimau Malaya, Pan Gon mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan berkenaan.

“Perlawanan yang sangat sukar. Saya sebagai ketua jurulatih meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Kami tidak boleh banggakan anda dan kami menghargai sokongan rakyat Malaysia yang hadir.

“Pemain sudah memberikan yang terbaik dalam situasi sukar. Pemain memberikan komitmen lebih 100 peratus tetapi dalam situasi ini memang sukar namun saya hargai usaha pemain. Kita tidak sepatutnya kalah, kami mampu memberikan keputusan lebih baik.

“Jika kamu mahu kritik, maka kritiklah saya. Kita masih memiliki dua perlawanan dan sekiranya masih ada keajaiban, kita masih berpeluang dan jangan mengalah. Kita akan memberikan yang terbaik,” kata Pan Gon.

Dalam sidang akhbar yang agak beremosi itu, Pan Gon turut mempertahankan segala keputusan barisan kejurulatihan termasuk taktikal yang yang dilihat gagal untuk menjerat Oman di laman sendiri.

“Selepas perlawanan kamu (wartawan) boleh bercakap apa sahaja. Kamu tidak tahu bagaimana pemain bola sepak bekerja. Saya bercakap kepada pemain, keputusan nombor dua, jangan hilang identiti Malaysia. Saya lebih takut pasukan hilang identiti.

“Saya mengambil risiko untuk mengeluarkan seorang pertahanan untuk menekan lawan. Sebagai jurulatih saya perlu lihat tahap kecergasan pemain ketika ini, beri tekanan kepada lawan dalam kotak penalti.”

“Kadangkala kita merancang, tetapi tidak berjalan seperti yang dirancang. Jangan salahkan pemain kerana berapa bulan mereka tidak memiliki perlawanan. Pemain bukan mesin, situasi ini bukan pemain yang tentukan,” kata Pan Gon.

Sementara itu, Pan Gon yakin peluang untuk Harimau Malaya masih ada dalam kempen kelayakan Piala Dunia 29026/Piala Asia 2027 dan baki dua aksi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ditanya mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Pan Gon berkata, beliau boleh bercakap tentang keadaan padang, namun memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan.

Kekalahan kedua dalam kempen kelayakan itu menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga ke-3 Kumpulan D dengan 6 mata selain turun dua tangga ke kedudukan 136 dunia.

Dalam aksi seterusnya, Malaysia akan berdepan Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun dan akan menanti kunjungan Taiwan di SNBJ pada 11 Jun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya