PETALING JAYA: Pelakon, Ruhainies mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyertai festival jualan Aidilfitri, Starvendors Mega Raya Festival anjuran Ifa Raziah susulan kontroversi melibatkan Aliff Aziz dan Bella Astillah.
Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, berkata dia membuat keputusan untuk menarik diri kerana tidak mahu perniagaan usahawan lain terkesan disebabkan penglibatannya.
“Salam semua, saya sudah maklumkan kepada kak Ifa bahawa saya menarik diri. Jangan risau ya, saya sudah lama fikir sebab tak mahu bisnes orang lain terjejas disebabkan saya.
“Saya sangat memahami dan insya-Allah akan ada rezeki saya di tempat lain. Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan bertemu lagi,” katanya.
Sebelum itu, Ifa dalam satu temu bual memohon peminat Ruhainies dan Bella tidak bertindak untuk memboikot acara StarVendors Mega Raya Festival.
Difahamkan, selain Ruhainies, acara tersebut juga bakal disertai isteri Aliff iaitu pelakon, Bella Astillah.